Projek mega kereta api laju Jakarta–Bandung atau lebih dikenali sebagai Whoosh kini berdepan masalah besar apabila beberapa syarikat terlibat dilaporkan menanggung kerugian mencecah ratusan juta ringgit.
Projek bernilai lebih RM35 bilion itu pada mulanya dijangka menjadi ikon moden pengangkutan Indonesia. Namun sebaliknya, ia kini jadi ‘lubuk rugi’ buat syarikat milik kerajaan Indonesia yang terbabit.

Rugi Lebih RM1.8 Bilion
Konsortium Indonesia, PT Pilar Sinergi BUMN Indonesia (PSBI) mencatatkan kerugian hampir RM1.26 bilion pada 2024, dan tambahan RM480 juta lagi hanya dalam tempoh enam bulan pertama 2025.
Syarikat utama dalam konsortium itu, PT Kereta Api Indonesia (KAI) pula terpaksa menanggung bahagian kerugian terbesar iaitu lebih RM670 juta sepanjang 2024, dan hampir RM285 juta lagi setakat pertengahan 2025.

Kenapa Rugi Besar?
Antara faktor utama yang ‘makan duit’ projek ini termasuk:
- Kos melambung: Belanja naik antara RM6–8 bilion akibat masalah tanah, pembelian peralatan keselamatan dan kelewatan kerja.
- Bayaran tertunggak: Kontraktor utama seperti PT Wijaya Karya (WIKA) turut merungut kerana pembayaran tidak lancar hingga syarikat itu sendiri alami kerugian.
- Penumpang tak cukup: Tren laju ini dijangka bawa 76,000 orang sehari, tapi realitinya jumlah penumpang hanya sekitar separuh daripada sasaran.

‘Bom Jangka’ BUMN
Beberapa wakil rakyat Indonesia menggelar projek Whoosh sebagai “bom jangka” kerana risiko hutangnya yang tinggi. Ada cadangan supaya kerajaan campur tangan, sama ada dengan ambil alih hutang sepenuhnya, atau buka peluang kepada pelabur swasta untuk suntik modal baru.

Ringkasnya
Projek yang sepatutnya jadi kebanggaan negara kini menambah beban kewangan kepada syarikat BUMN. Tanpa langkah segera, kereta api laju Whoosh mungkin jadi simbol kegagalan projek mega yang ‘menelan’ duit rakyat.