FGV Holdings Bhd akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada Khamis ini, menandakan penyempurnaan usaha selama bertahun-tahun oleh FELDA untuk mengambil alih syarikat perladangan gergasi itu secara persendirian.
Ia berlaku 13 tahun selepas FGV muncul sebagai tawaran awam permulaan (IPO) yang ketiga terbesar di dunia dan terbesar di Asia pada 2012.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, FGV memaklumkan bahawa keseluruhan modal saham terbitannya akan dikeluarkan daripada senarai rasmi bursa saham tempatan berkuat kuasa pada jam 9 pagi, 28 Ogos.
Ini selepas FELDA berjaya memperoleh pegangan sebanyak 94.97 peratus dalam FGV pada penutupan tawaran pengambilalihan tanpa syarat pada 15 Ogos, yang mencetuskan penggantungan dagangan kaunter itu pada 22 Ogos lalu.

FELDA kemudiannya telah mengeluarkan notis kepada pemegang saham yang tidak bersetuju, memberikan mereka tempoh sehingga 15 Januari 2026 untuk meminta agensi kerajaan itu membeli baki saham mereka pada harga RM1.30 sesaham.
Perkembangan itu membolehkan FGV kini kembali sepenuhnya di bawah kawalan FELDA.
Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menyatakan bahawa agensi itu akan menyusun semula FGV bagi mengutamakan kepentingan peneroka FELDA.

Perdana Menteri memaklumkan susulan itu, FELDA yang menjadi satu kekuatan FGV, tidak lagi terikat dan boleh menentukan arah tuju mereka, selain akan mampu memberi jaminan melalui Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd (KPF) supaya faedah dan kepentingan peneroka menjadi keutamaan.
Sebaik saja perkara itu diuruskan, katanya, beliau dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bersama Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, akan menetapkan arahan jelas daripada kerajaan supaya FGV kembali kepada matlamat asal FELDA.
“Keutamaannya kepada peneroka, hak dan hasil mereka serta koperasi yang mereka tentukan,” katanya ketika berucap merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di Kuala Lumpur, awal bulan ini.
Penyahsenaraian ini juga menutup satu babak yang mencabar bagi FGV, apabila ia berdepan larangan import oleh Amerika Syarikat (AS) sejak 2020 berikutan dakwaan amalan buruh paksa, demikian menurut Reuters.