Citaglobal Bhd memperoleh kontrak bernilai RM168.88 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi projek menaik taraf Laluan Persekutuan FT3.
Penganugerahan kontrak itu dibuat selepas syarikat tersebut melalui satu proses tender yang kompetitif.
Melalui anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Land Sdn Bhd, kumpulan itu hari ini menerima Surat Setuju Terima daripada JKR.

Skop kerja yang terbabit merangkumi penaiktarafan jalan sedia ada, termasuk pembinaan enam buah jambatan dan lima buah persimpangan, kerja tanah, geoteknikal, saliran, turapan jalan, perabot jalan, pengurusan trafik serta kerja-kerja lain yang berkaitan.
Projek ini adalah sebahagian daripada kerja-kerja yang lebih besar untuk menaik taraf Laluan Persekutuan FT3, yang melibatkan pelebaran Jalan Kota Bharu–Kuala Terengganu daripada dua lorong sehala kepada empat lorong dua hala mengikut piawaian JKR.
Projek pembinaan ini dijangka akan disiapkan dalam tempoh 42 bulan dari tarikh pemilikan tapak.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal Bhd, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya berbangga kerana dipilih oleh JKR untuk melaksanakan projek berkenaan.

Dalam satu kenyataan, beliau menyatakan bahawa penerimaan kontrak ini menjadi bukti kepada reputasi Citaglobal sebagai sebuah syarikat kejuruteraan awam dan pembinaan terkemuka di Malaysia serta mengukuhkan lagi penglibatan syarikat dalam projek-projek infrastruktur pembangunan negara.
“Kejayaan memperoleh kontrak terbaharu ini meningkatkan nilai perolehan kontrak semasa Citaglobal kepada RM1.3 bilion, sekali gus menjamin perolehan pendapatan bagi kumpulan untuk tiga tahun akan datang,” katanya.
Mohamad Norza turut menjelaskan, walaupun Citaglobal menyatakan hasrat untuk meneroka sektor pertumbuhan baharu seperti tenaga boleh baharu dan teknologi, perniagaan teras dalam bidang kejuruteraan awam dan pembinaan akan kekal sebagai pemacu pendapatan yang stabil.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya dan JKR atas kepercayaan yang diberikan.