YTL Corporation Bhd (YTL Corp) sedang membida lebih banyak projek infrastruktur untuk tempoh 12 bulan akan datang termasuk kerja-kerja sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Johor, sambungan laluan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Jalan Kastam ke Westports dan Northport, serta infrastruktur air di Johor.
Penganalisis CGS International, Chong Tjen-San, berkata buku pesanan YTL setakat 25 Jun adalah sebanyak RM3 bilion, yang mana hampir keseluruhannya terdiri daripada projek dalaman syarikat itu.

“Kemungkinan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT 3) dihidupkan semula juga dilihat sebagai perkembangan positif untuk YTL, pada pandangan kami.
“Untuk rekod, sebelum tempoh sah tender projek itu tamat secara rasmi pada Mac 2024, YTL merupakan pembida terendah bagi satu pakej utama.
“Dari sudut yang lebih negatif, kami merasakan bahawa projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura mungkin akan mengalami kelewatan lagi dan nampaknya bukan keutamaan kerajaan semasa,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
CGS International bagaimanapun menurunkan saranan terhadap saham YTL Corp kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran lebih tinggi RM2.76.

YTL Corp mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM1.88 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 daripada RM2.14 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
Bagaimanapun, hasil meningkat kepada RM30.82 bilion pada tahun kewangan 2025 berbanding RM30.49 bilion, kebanyakannya dikaitkan dengan perniagaan utiliti kumpulan itu.
Bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025, keuntungan bersih kumpulan itu meningkat sedikit pada RM547.17 juta berbanding RM534.96 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala hasil susut kepada RM7.67 bilion berbanding RM8.23 bilion.
Tjen-San berkata, sorotan utama prestasi kewangan YTL Corp sekali lagi adalah pada segmen simen, dengan keuntungan sebelum cukai bagi suku keempat meningkat sebanyak 111 peratus tahun ke tahun kepada RM376 juta, didorong oleh penyatuan NSL Ltd, kecekapan operasi, dan kos arang batu yang lebih rendah.
Menurutnya, perniagaan hotel pula menunjukkan prestasi yang baik, dengan keuntungan sebelum cukai meningkat sebanyak 35 peratus tahun ke tahun kepada RM54 juta berikutan permintaan kukuh di semua pasarnya.
“Segmen pembinaan mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM28 juta dalam suku keempat berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM9 juta dalam suku ketiga disebabkan ketiadaan kos tambahan daripada lanjutan kontrak utama iaitu projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru serta pengurangan kos operasi melalui kontrak pihak ketiga,” katanya.