Anak syarikat milik penuh ECM Libra Group Bhd, ECML Hotels Sdn Bhd, akan menjual dua bidang tanah pegangan bebas yang terletak bersebelahan di Pulau Pinang kepada Wealthpro Holdings Sdn Bhd pada RM51.89 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, ECM Libra menjelaskan hartanah itu meliputi dua bidang tanah pegangan bebas yang menempatkan sebuah bangunan hotel 11 tingkat dengan 258 bilik.
Hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, pembangunan projek, pengembangan perniagaan masa hadapan, keperluan modal kerja, serta anggaran cukai dan perbelanjaan.

Penjualan itu tidak akan menyebabkan ECM Libra menjadi sebuah syarikat tunai atau diklasifikasikan sebagai syarikat PN17 mengikut Kehendak-Kehendak Penyenaraian, jelasnya.
Menurut ECM Libra penjualan itu adalah sebahagian daripada strategi untuk sentiasa menilai portfolio pelaburan dan, jika berpeluang, memanfaatkan dan merealisasikan nilai pelaburan untuk manfaat para pemegang saham.

Dipercayai hartanah yang dijual itu adalah Tune Hotel di Jalan Burmah, Pulau Pinang. Hotel ini setinggi 11 tingkat dengan 258 bilik. Di miliki oleh ECML Hotels Sdn Bhd pada 1 Oktober 2018 dengan harga RM21 juta.
“Berdasarkan harga jualan dan nilai jumlah bersih diaudit bagi hartanah tersebut setakat 31 Disember 2024 kira-kira RM22.9 juta, syarikat dijangka merekodkan keuntungan kasar pro forma sekali sahaja kira-kira RM29 juta sebelum menolak anggaran cukai dan perbelanjaan sebanyak RM4.3 juta,” tambahnya.
Tanpa mengambil kira keadaan luar jangka dan tertakluk kepada semua syarat kelulusan diperoleh, penjualan itu dijangka selesai pada suku pertama 2026.

19 tahun dahulu, kontroversi penggabungan ECM Libra dengan Avenue Capital Resources Bhd pada tahun 2006 menjadi salah satu isu besar yang membayangi pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi. Urus niaga itu menimbulkan persoalan tentang integriti, ketelusan dan tuduhan kronisme dalam kerajaan.
ECM Libra ialah sebuah syarikat pelaburan swasta yang masih kecil, manakala Avenue Capital Resources merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Kementerian Kewangan. Namun, dalam urus niaga mengejutkan, ECM Libra yang lebih kecil berjaya mengambil alih Avenue yang lebih besar.
Kontroversi tercetus kerana Khairy Jamaluddin, menantu Abdullah, dikaitkan dengan kepentingan dalam ECM Libra. Walaupun beliau menafikan pengaruhnya, banyak pihak melihat penggabungan ini sebagai contoh conflict of interest. Kritikan semakin hebat kerana Abdullah sendiri ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan — pihak yang meluluskan urus niaga tersebut.
Pengkritik mendakwa urus niaga ini berat sebelah, tidak telus, dan menunjukkan pengaruh “tingkat 4”, iaitu kumpulan penasihat muda di Jabatan Perdana Menteri. Walaupun tiada sebarang sabitan undang-undang, isu ini menjejaskan imej Pak Lah yang sebelum itu dipuji sebagai pemimpin berintegriti.
Kontroversi ECM Libra akhirnya menjadi simbol kelemahan pentadbiran Pak Lah dalam menangani persepsi kronisme, dan kekal disebut sebagai salah satu faktor yang menghakis sokongan politik terhadap beliau.
Kontroversi itu kini sudah lama diam dan tidak disebut langsung oleh pengkritik pengkritik yang dahulunya menggunakan isu itu untuk menjatuhkan Pak Lah.