IJM Construction Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IJM Corporation Bhd (IJM), dianugerahkan kontrak berjumlah RM1.4 bilion bagi pembinaan kemudahan pusat data berskala besar di Johor Bahru.
Dalam satu kenyataan hari ini, IJM berkata projek itu dijadualkan siap dalam tempoh 13 bulan iaitu pada September 2026, terdiri daripada bangunan pusat data enam tingkat dengan kemudahan pejabat bersepadu, selain kemudahan sampah dan kitar semula.

“Dengan keluasan lantai kasar kira-kira 667,361.8 kaki persegi, IJM Construction akan menjalankan kerja-kerja sivil dan struktur penuh menggunakan sistem pra-tuang, tiang, rusuk dan papak teras berongga, disokong oleh struktur keluli bagi pemasangan loji mekanikal dan elektrik.
“Bangunan itu direka untuk mencapai pensijilan Kepimpinan dalam Tenaga dan Reka Bentuk Alam Sekitar Emas dan Hartanah Hijau Platinum, dan termasuk fasad dinding hijau yang tersendiri dengan pengairan bersepadu,” katanya.
IJM berkata, semua elemen kelestarian itu melengkapkan kaedah pembinaan termaju bagi menyampaikan kecekapan operasi jangka panjang.

Selain itu, katanya, ia merupakan projek pusat data terbesar yang dilaksanakan oleh syarikat itu dan projek pusat data keempatnya di Johor, yang muncul sebagai hab strategik berskala besar dan kemudahan perusahaan bagi menyokong kecerdasan buatan, pengkomputeran awan serta perkhidmatan digital di Asia Tenggara.
Pembinaan pusat data terbaharu itu menambah sebanyak RM1.4 bilion kepada nilai perolehan kontrak dalam tangan IJM Construction, meningkatkan ia daripada RM7.6 bilion pada 31 Mac 2025 kepada RM9.2 bilion.
“Perancangan termasuk pelbagai pusat data, kemudahan pembuatan elektrik dan elektronik, dan hab logistik, sektor yang memacu pertumbuhan IJM dalam infrastruktur perindustrian dan digital bernilai tinggi,” tambahnya.