The Edge baru-baru membocorkan maklumat bahawa kononnya WCT-MMC JV syarikat yang bakal mendapat kontrak pembinaan ECRL ke Pelabuhan Klang

Cadangan pelantikan konsortium WCT Holdings Bhd dan MMC Corp Bhd bagi projek sambungan Seksyen D Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) ke Pelabuhan Klang mencetuskan persoalan serius berkaitan integriti, rekod prestasi dan konflik kepentingan politik.
Bagi sesetengah pihak dalam industri dan masyarakat sivil, keputusan kerajaan mempertimbangkan dua syarikat ini bukan sahaja membangkitkan isu ketelusan, malah menimbulkan kebimbangan bahawa projek infrastruktur mega negara kini dijadikan saluran ‘ganjaran politik’ kepada tokoh dan entiti berkepentingan.
Bagaimana WCT Holdings Bhd dan MMC Corp Bhd boleh memenangi tender ini? Apakah kerana WCT bergandingan dengan Lion Pacific Sdn Bhd yang ada kaitan dengan seorang kartel tender di negara ini yang sebelum ini menguasai Hitech Padu, MMAG Holdings
WCT: Syarikat Bermasalah, Tetapi Masih Diangkat
WCT Holdings Bhd, yang kini dilaporkan sebagai antara pembida utama sambungan ECRL ke Pelabuhan Klang, pernah terpalit dengan beberapa skandal korporat dan kerugian prestasi kewangan.
Pengasasnya, Chan Soon Huat, telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2022 kerana kesalahan perdagangan maklumat orang dalam (insider trading) membabitkan saham WCT sendiri. Beliau diperintahkan membayar ganti rugi melebihi RM3.2 juta serta pampasan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)

Selain itu, pada 2023, bekas Timbalan Pengarah Urusan WCT pula dikenakan penalti RM2.54 juta dan diperintahkan membayar RM300,000 kepada SC atas kesalahan serupa
Meskipun WCT baru-baru ini melaporkan keuntungan bersih tertinggi dalam 12 tahun (RM277.96 juta), sebahagian besar daripadanya datang daripada keuntungan penilaian semula aset, bukan daripada prestasi operasi sebenar. Malah, segmen kejuruteraan dan pembinaannya terus mencatat kerugian
Pelantikan WCT akan mengundang risiko operasi dan reputasi negara jika diukur dari segi rekod prestasi sebenar dan isu integriti.
Tan Sri Desmond Lim Siew Choon, tokoh hartanah terkenal dan pemilik Pavilion Kuala Lumpur pada November 2016 mengambil alih pengurusan WCT selepas membeli kira-kira 19.66% saham daripada Peter Taing pada harga premium. Beliau kini memegang sekitar 25.5% saham secara langsung dan tidak langsung melalui Dominion Nexus Sdn Bhd
Siapa tak kenal Desmond Lim dikaitkan rapat secara peribadi dengan Najib Razak dan Rosmah Mansor, dan pernah menempatkan pasangan bekas PM itu di Pavilion Residences.Pada Mei 2018, polis merampas 284 kotak barang mewah, termasuk lebih 12,000 barang kemas, 423 jam tangan mewah dan 567 beg tangan mewah bernilai antara USD 223 juta hingga USD 273 juta daripada rumah mereka di Pavilion Residences — dirujuk sebagai rampasan terbesar dalam sejarah negara dan dikaitkan dengan dana 1MDB

MMC: Kroni Mahathir dan Dana Politik PN
Sementara itu, rakan usaha sama WCT – MMC Corp Bhd – dikawal oleh tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang diketahui rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Lebih mencurigakan, laporan SPRM dan pendedahan media sebelum ini menyebut Syed Mokhtar sebagai antara penyumbang utama dana politik kepada Perikatan Nasional, termasuk menerusi entiti Bukhary Equity Sdn Bhd yang didakwa menyalurkan lebih RM300 juta kepada beberapa akaun berkait rapat dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dana ini kini dalam siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), dan telah dibekukan oleh pihak berkuasa
Melantik MMC sama seperti memberikan talian hayat dana pilihan raya kepada PN dan kem Mahathir.
Walaupun Syed Mokhtar sebelum ini menafikan penglibatan langsung dengan mana-mana parti politik, hubungan erat beliau dengan tokoh-tokoh utama politik pembangkang sukar dinafikan – apatah lagi ketika landskap politik negara kian rapuh menjelang PRU16.
Konflik Kepentingan & Ketelusan Tender Dipersoal
Mengikut perincian rasmi, tender Seksyen D membabitkan sambungan 25km dari Stesen ECRL Jalan Kastam ke dua pelabuhan utama – Westports dan Northport – dianggarkan bernilai antara RM600 juta hingga RM900 juta, jauh lebih rendah daripada anggaran awal RM2 bilion. Namun, sumber dalaman memaklumkan bahawa skop kerja juga telah dikecilkan atas arahan Kabinet.
Isunya, proses tender masih tidak sepenuhnya telus – dengan banyak pihak merasakan hanya pemain kartel tender melobi pembinaan WCT-MMC.
Menurut sumber dalam Kementerian Kewangan, terdapat tekanan daripada pihak tertentu agar kontrak ini “dianugerahkan” sebelum hujung tahun, sebelum tarikh akhir fasa ECRL ke Pelabuhan dijangka dimulakan.
“Kalau projek ini diberi kepada mereka, kerajaan sedang membuka laluan kepada pengumpulan dana politik dengan berselindung di sebalik nama pembangunan,” tegas sumber itu.
Seruan Kepada Ketelusan
Penganalisis menegaskan, kerajaan MADANI tidak boleh berkompromi dalam isu seumpama ini. Ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti institusi mesti menjadi tonggak setiap projek awam berskala besar.
“Tidak cukup hanya dengan mengatakan proses tender terbuka jika pemain yang sama, dengan sejarah prestasi buruk dan hubungan politik kuat, terus diberi kelebihan,” kata sumber.
Bagi rakyat, isu ini bukan sekadar tentang sambungan rel atau pelabuhan – ia tentang bagaimana negara ini ditadbir, dan siapa yang benar-benar mendapat manfaat daripada projek bernilai ratusan juta ringgit.