B Grimm Sasar Pelaburan RM4.26 Billion, Bangunkan Loji Solar Di Malaysia

Konglomerat tenaga multinasional Thailand, B. Grimm Power Public Company Ltd berhasrat untuk mengembangkan jejaknya dalam tenaga boleh baharu yang sedang melonjak di Malaysia melalui pelaburan sebanyak AS$1 bilion atau RM4.26 bilion termasuk membangunkan loji solar dalam beberapa tahun akan datang.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif B. Grimm, Datuk Seri Harald Link, berkata keputusan itu dibuat memandangkan kedua-dua negara adalah jiran dan syarikat itu mempunyai hubungan yang sangat baik di Malaysia sejak 20 tahun lalu.

Ini akan menjadi pengembangan penting bagi B. Grimm yang telah pun melabur sekitar RM200 juta dalam sektor RE Malaysia, setelah memasuki pasaran tersebut semasa tempoh COVID-19.

“B. Grimm boleh membawa kepakarannya dalam loji janakuasa solar, tenaga perindustrian termasuk juga dalam pengeluar tenaga bebas (IPP) ke Malaysia,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Temu bual itu diadakan selepas Link dianugerahkan darjah kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri”‘bersempena dengan ulang tahun ke-66 Sultan Pahang di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz pada 28 Julai lalu.

Link berkata, B. Grimm mahu mengukuhkan kehadirannya di Malaysia selepas memperoleh 45 peratus kepentingan dalam reNIKOLA Holdings Sdn Bhd pada 2021 sebanyak RM367 juta secara tunai.

Pengambilalihan 45 peratus kepentingan dalam modal saham yang diperbesar reNIKOLA Holdings telah dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya, B. Grimm Power Malaysia Sdn Bhd, baki 55 peratus dalam reNIKOLA dipegang oleh reNIKOLA Sdn Bhd.

B. Grimm sebelum ini menyuntik RM152.5 juta ke dalam reNIKOLA dan syarikat itu telah mengambilalih dua projek tenaga solar yang terletak di Kuala Muda di Kedah serta Machang di Kelantan dengan kapasiti dipasang sebanyak 90 megawatt (MW).

Kedua-dua projek di Kuala Muda dan Machang telah memeterai perjanjian pembelian tenaga selama 21 tahun dengan Tenaga Nasional Bhd (TNB).

reNIKOLA Holdings turut memiliki aset tenaga solar di Arau, Perlis, Gebeng dan Pekan di Pahang.

Ia akan membangunkan loji solar berskala besar di Bukit Kayu Hitam, Kedah (menunggu pengeluaran lesen), yang mana, akan menghasilkan tenaga sebanyak 418 megawatt selepas siap.

Link ketika mengulas mengenai kepakaran B. Grimm berkata: “IPP sangat mudah bagi kami, sama ada anda membina loji 140 MW atau loji 1,400 MW, kekompleksannya tetap sama cuma yang berbeza adalah turbinnya, besar atau kecil.

“Bagaimanapun, loji tenaga perindustrian adalah lebih kompleks jika anda membinanya untuk negeri atau negara,yang mana B. Grimm memiliki kepakaran dan telah pun diiktiraf di peringkat serantau mahupun antarabangsa.”

.B. Grimm juga telah menggabungkan sebuah syarikat yang menjual alat ganti untuk penghawa dingin dan peti sejuk 20 tahun yang lalu.

Namun sekarang, B. Grimm cuba untuk masuk ke dalam perniagaan gas kitaran gabungan di Malaysia dan meneroka peluang dalam projek tenaga pembakaran gas.

“Kami mempunyai banyak projek di Thailand malah kami adalah pembekal tenaga terbesar di 10 zon ekonomi khas, kami juga aktif di tiga negara iaitu Thailand, Kemboja dan Vietnam. Kami sangat mahir dalam membekalkan elektrik tanpa gangguan kepada industri,” katanya.

Di antara loji tenaga yang dikendalikan oleh B. Grrimm adalah loji penjanaan gabungan 140 MW di wilayah Chon Buri, yang terletak di Laem Chabang Industrial Estate, yang membekalkan elektrik kepada Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT) serta industri di dalam estet tersebut.

Link berkata, tenaga tanpa gangguan adalah penting bagi industri, yang mana B. Grimm mempunyai penyelesaian serta kepakaran, ia mengendalikan rangkaian pengedaran yang memenuhi keperluan kuasa voltan sederhana dan tinggi.

Selain tenaga berasaskan gas, B. Grimm membekalkan kuasa solar dari bumbung serta bateri dan walaupun wujud persepsi bahawa Malaysia mempunyai kapasiti yang terhad untuk tenaga angin disebabkan oleh faktor geografi dan iklim, beliau yakin bahawa tenaga elektrik masih berpotensi diekstrak dari angin di negara ini.

“Kami telah melabur dalam tenaga hidro, angin, solar serta gas, dan kami melakukan ini di lebih daripada 15 negara.

“Kami adalah entiti swasta pertama yang membina loji angin luar pesisir di Korea Selatan. Kami membinanya dengan turbin, dengan setiap turbin angin berketinggian antara 100 hingga 150 meter, dengan penjana, bilah dan kotak gear yang terletak di bahagian atas. Kotak gear digunakan untuk memindahkan tenaga,” katanya.

Link juga mengatakan bahawa B. Grimm telah melabur dalam sebuah syarikat di Jerman yang boleh melenyapkan penggunaan kotak gear, dengan teknologi baharu ini, isu-isu mekanikal serta risiko kerosakan dapat dikurangkan.

Back To Top