KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd dijangka melepasi sasaran buku pesanan tahunan antara RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir tahun ini, disokong oleh kemajuan kukuh dalam kejayaan projek domestik.
CGS International menjangkakan, kumpulan itu mungkin menutup 2025 dengan anggaran kontrak yang telah diperoleh sebanyak RM42 bilion, tidak termasuk potensi peluang bernilai tinggi yang masih dalam proses.

Menurut firma penyelidikan itu, anggaran itu tidak mengambil kira potensi kemenangan projek di Taiwan dan Australia, serta kontrak domestik utama seperti sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan projek pemindahan air antara negeri dari Perak ke Pulau Pinang.
Firma itu menyatakan bahawa kejayaan memperoleh mana-mana projek tambahan ini akan terus mengukuhkan buku pesanan Gamuda, dan berkemungkinan besar mendorong jumlah keseluruhan melebihi unjuran semasa.
“Kami menjangkakan satu lagi kejayaan projek di Taiwan menjelang akhir 2025. Memasuki 2026, prospek dilihat memberangsangkan, kerana terdapat tiga projek tenaga boleh diperbaharui di Australia di bawah penglibatan awal kontraktor (ECI).

“Gamuda juga disenarai pendek untuk tender Stesen Bersepadu Parramatta di New South Wales, projek lebuh raya Northland Corridor di New Zealand, dan projek Kereta Api Sunshine Coast di Brisbane, Australia,” katanya.
Sehingga Jun 2025, buku pesanan Gamuda berjumlah RM37.2 bilion, dengan jumlah kontrak yang dimenangi setakat tahun ini sebanyak RM18.4 bilion.
Firma penyelidikan itu juga telah menyemak semula kaedah penilaian untuk kumpulan tersebut, daripada pendekatan
‘sum-of-parts’ kepada nisbah permodalan pasaran berbanding buku pesanan.
Kini, ia mengandaikan buku pesanan mampan sebanyak RM42.5 bilion, titik tengah daripada panduan Gamuda bagi 2025 iaitu RM40 bilion hingga RM45 bilion, dan telah menetapkan harga sasaran baharu sebanyak RM7.30, berdasarkan nisbah 1.0 kali.
Menurut firma itu, purata nisbah permodalan pasaran diselaraskan berbanding buku pesanan Gamuda ialah 1.2 kali.
“Dengan andaian Gamuda boleh diniagakan pada tahap ini, permodalan pasaran yang diunjurkan ialah RM48 bilion atau RM8.30 sesaham,” katanya.
Setakat ini imej Gamuda dilihat masih lagi bersih. Namun skandal MBI Scheme agak mencalarkan sedikit imej Gamuda
Skandal MBI merujuk kepada skim pelaburan haram MBI Scheme (juga dikenali sebagai “Northern Star Scam”) yang didakwa menyebabkan kerugian pelabur melebihi RM3 bilion. Skim ini dikendalikan oleh Tedy Teow dan mula runtuh sekitar 2018 setelah tindakan pihak berkuasa Bank Negara Malaysia dan PDRM.
Pada April 2025, pihak polis menahan beberapa individu ternama termasuk Tan Sri Datuk Alex Ooi, Pengerusi Ideal Property Group, yang dikaitkan dengan skim MBI. Aset beliau dibekukan bernilai lebih RM3.17 bilion.

Tan Sri Datuk Alex Ooi Ditahan bersama dengan kereta mewah (baca jaringan artikel ini Tan Sri Datuk Alex Ooi Ditahan Bersama Rolls-Royce Ghost Berharga RM1.45 juta – Malaysia Corporate).
Gamuda sendiri tidak disabit kesalahan langsung dalam skandal MBI, tetapi lahir persoalan mengenai kesahihan dana dan integriti rakan konsortium projek mereka, terutamanya Ideal Property yang dimiliki oleh Tan Sri Datuk Alex Ooi.
Kenapa Gamuda dikaitkan? Gamuda Berhad memiliki 60% saham dalam SRS Consortium Sdn Bhd, syarikat yang dipilih sebagai kontraktor utama pakej kerja awalan untuk projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang bernilai lebih RM8 bilion.
Ideal Property Development Sdn Bhd (syarikat milik Alex Ooi) memegang 20% saham dalam SRS Consortium. Sementara satu lagi syarikat tempatan (dimiliki keluarga Loh Phoy Yen/Oriental Holdings) memegang baki 20%