Sapura Energy Bhd Tukar Nama Jadi Vantris Energy Bhd

 Sapura Energy Bhd kini dikenali sebagai Vantris Energy Bhd, menandakan fasa baharu transformasi korporat syarikat minyak dan gas itu.

Pertukaran nama tersebut berkuat kuasa 1 Ogos 2025 selepas diluluskan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) 30 Julai lalu, berserta kelulusan Pelan Regularisasi yang menjadi tonggak pemulihan kewangan dan operasi syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh, berkata nama baharu itu mencerminkan identiti, nilai teras dan hala tuju strategik syarikat yang kini bersedia mengukuhkan semula keyakinan pemegang taruh.

“Vantris melambangkan keazaman kami untuk bergerak di barisan hadapan industri dengan fokus jelas, sambil menghargai perjalanan dan kepercayaan yang ingin dibina semula,” katanya.

Pelan Regularisasi yang mendapat kelulusan lebih 99 peratus pemegang saham mengandungi empat komponen utama iaitu rekonstruksi modal, penstrukturan hutang, pembiayaan dan pengecualian tawaran am mandatori.

Langkah itu akan mengurangkan hutang daripada RM10.8 bilion kepada kira-kira RM5.6 bilion, sekali gus menjimatkan lebih RM500 juta dalam kos faedah dan meletakkan syarikat di landasan untuk kembali mencatat keuntungan.

Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) akan melabur sehingga RM1.1 bilion dalam bentuk stok pinjaman boleh tebus boleh tukar, yang sebahagian besarnya digunakan untuk menyelesaikan bayaran tertunggak kepada vendor minyak dan gas tempatan.

Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh, Vantris Energy menyasarkan keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) selepas mencatat keuntungan bagi dua suku tahunan berturut-turut.

Muhammad Zamri berkata sokongan padu pemegang saham membolehkan syarikat melaksanakan fasa pemulihan dengan keyakinan baharu.

“Kami kini berada pada kedudukan lebih teguh untuk bergerak ke hadapan dengan fokus, kekuatan kewangan dan matlamat yang jelas,” katanya.

Back To Top