Nurul Izzah Kongsi Kisahnya Bawa Pulang Pencipta USB Flash, Pua Khien Seng Ke Malaysia

Penasihat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC), Nurul Izzah Anwar, berkongsi peranannya membawa pulang syarikat gergasi teknologi dunia dan seorang anak jati Malaysia yang juga pencipta cip USB flash pertama dunia, Pua Khien Seng.

Berkongsikan perkara itu laman Facebook rasmi beliau, Nurul Izzah berkata ia bermula dengan peluang makan tengah hari bersama usahawan dari Sekinchan itu dua tahun lalu.

Menurut Timbalan Presiden PKR itu, walaupun Khien Seng seorang usahawan berjaya yang sudah membina nama di persada dunia, hatinya tetap terpaut pada Malaysia.

“Pua beritahu saya, dia boleh sahaja memilih untuk melabur ke mana-mana negara lain. Tetapi, dia tetap nak kembali menabur bakti buat tanah air tercinta. Dia mahu melihat Malaysia muncul sebagai harimau digital di rantau ASEAN,” katanya.

Nurul Izzah berkata, Khien Seng berhasrat membawa pelaburan berjumlah RM100 juta serta pemindahan teknologi bernilai RM1 bilion bagi membolehkan Malaysia menerajui bidang reka cipta mikrocip.

Namun, beliau berkata usahawan itu meluahkan sesuatu yang sangat menyentuh hatinya.

Menurutnya, Khien Seng meluahkan bahawa dia mampu merungkai dunia mikrocip yang kompleks, tetapi masih gagal memahami mentaliti dan lanskap politik di Malaysia.

“Jadi, saya perlu bantu dia untuk memacu kemajuan teknologi Malaysia ke hadapan. Saya menyokong usaha beliau dengan menghubungkan kepada ekosistem dasar dan agensi dan kementerian yang relevan.

“Saya juga mempertemukan beliau dengan individu dan pihak yang tepat, termasuk SIDEC, kerana hasrat kami adalah untuk menjadikan Selangor sebagai Lembah Silikon Malaysia.

“Ia bukan perjalanan yang mudah, tetapi akhirnya membuahkan hasil. Dua bulan lalu, Pua melancarkan MaiStorage di Malaysia – sebuah syarikat reka cipta mikrocip dan teknologi storan data canggih,” katanya.

Nurul Izzah berkata, bagi mengelak lebih ramai bakat-bakat Malaysia berhijrah ke luar negara, Khien Seng menawarkan gaji permulaan RM6,000 untuk graduan baharu, manakala gaji bagi jurutera berpengalaman pula mencecah lima angka.

Sasaran Khien Seng, kata Nurul Izzah adalah mahu membawa syarikat ini ke penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) menjelang tahun 2028.

“Inilah kisah seorang anak bangsa yang pulang membawa harapan. Harapan untuk menjadikan Malaysia bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta masa depan. Sebuah impian yang bermula di Sekinchan dan kini sedang membina sejarah untuk negara,” katanya.

Khien Seng mencipta sejarah dunia kira-kira 20 tahun lalu mencipta cip USB flash pertama di dunia yang telah mengubah landskap penyimpanan data global.

Kini, syarikatnya Phison menguasai lebih 45 peratus pasaran USB flash di dunia.

Pada 1999, beliau pernah cuba membawa visinya untuk menjadikan Malaysia sebagai hab utama reka bentuk mikrocip di dunia.

Namun, impiannya terhalang oleh birokrasi, dasar yang terbatas, dan ekosistem yang belum matang dan bersedia, menyebabkannya memilih untuk ke Taiwan, di mana ideanya diberi peluang untuk berkembang.

Back To Top