Malaysia kini berada di tangga keenam di Asia bagi pengalaman rangkaian mudah alih dan kesembilan untuk jalur lebar tetap, menurut laporan penyelidikan CIMB Securities yang memetik data terkini Opensignal dan Speedtest Global Index.

Kedudukan ini menjadikan Malaysia antara negara paling cemerlang dalam pembangunan infrastruktur digital di rantau ini, terutama sekali dalam kalangan negara yang mempunyai keluasan lebih 200,000 kilometer persegi.
Ia menunjukkan keberkesanan pelaksanaan pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) serta pelaburan aktif oleh syarikat telekomunikasi utama negara.
Liputan 4G kini telah mencapai 98.7 peratus di seluruh negara menjelang akhir 2024, termasuk peningkatan ketara di Sabah dan Sarawak – daripada sekitar 73 peratus pada 2020 kepada lebih 90 peratus kini. Dalam tempoh sama, liputan gentian optik ke premis kediaman meningkat 81 peratus kepada 9 juta, satu pencapaian yang disasarkan untuk tahun 2025 tetapi dicapai setahun lebih awal.

Bagaimanapun, laporan CIMB Securities itu turut menegaskan bahawa cabaran masih wujud, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang belum menikmati tahap kestabilan dan kualiti perkhidmatan seperti di bandar.
Beberapa lokasi masih belum memenuhi piawaian kualiti perkhidmatan (MSQoS) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), menyebabkan sebanyak 135 notis dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi pada suku pertama tahun ini.
Menurut CIMB Securities, walaupun kelajuan purata 4G negara kini mencecah 34 Mbps dan 5G sebanyak 228 Mbps, jauh melebihi standard minimum 10 Mbps, pencapaian teknikal semata-mata tidak mencukupi tanpa jaminan kebolehcapaian menyeluruh.
Laporan itu juga menyatakan bahawa syarikat telekomunikasi yang gagal memenuhi tanggungjawab sosial dalam memastikan kualiti perkhidmatan berisiko berdepan tindakan penguatkuasaan, kehilangan kepercayaan pelanggan dan kerosakan reputasi.
Malaysia kini berada di landasan kukuh dalam agenda transformasi digital, namun usaha meningkatkan kesaksamaan akses di seluruh negara kekal penting dalam menjayakan visi negara digital yang inklusif.