CelebrASIA Di Battersea Power Station, Festival Budaya Asia Tenggara Terbesar Di UK

LONDON: Festival budaya Asia Tenggara terbesar di United Kingdom (UK), celebrASIA, akan kembali memeriahkan Battersea Power Station dari 5 hingga 7 September 2025 dengan pelbagai tarikan termasuk makanan jalanan, persembahan budaya, seni kraf, permainan tradisional dan pengalaman menjamu selera bertaraf dunia.

Festival yang dianjurkan secara percuma ini diterajui oleh kerjasama Battersea Power Station dan Suruhanjaya Tinggi serta Kedutaan 10 negara ASEAN di London. Tahun ini menyaksikan acara diperluaskan dengan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peringkat umur.

Antara tumpuan utama adalah Feasting Tent, pengalaman menjamu selera empat hidangan yang dikendalikan oleh chef Asia Tenggara terkenal di London termasuk Abby Lee dari Mambow (Malaysia), Budgie Montoya dari APOY (Filipina) dan John & Desiree Chantarasak dari AngloThai. Pengunjung juga boleh menikmati semula burger ayam satay eksklusif hasil kolaborasi Chick ‘n’ Sours dan Mandy Yin dari Sambal Shiok.

Malaysia terus menjadi antara penyumbang utama festival ini dengan kehadiran chef selebriti Mandy Yin sebagai duta festival serta penyertaan jenama tempatan seperti Eat Lah, Sueperlicious, dan Royal Selangor. Pengunjung juga boleh mempelajari seni batik, kraf manik dan tembikar pewter secara langsung melalui bengkel kendalian artisan Malaysia.

Malaysia Square pula akan menjadi lokasi aktiviti kebudayaan interaktif termasuk permainan tradisional seperti Tuju Selipar dan kelas Breaking bersama penari profesional British-Malaysian, B-Boy Sunni, yang turut menjadi duta festival.

Persembahan pentas pula akan menampilkan muzik dan tarian tradisional dari pelbagai negara termasuk Sarawak, Indonesia dan Thailand.

Pengunjung cilik turut disediakan aktiviti seperti membuat wayang kulit, menghias tanglung dan menyertai Grand Tour interaktif untuk mengenali negara ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Interim Battersea Power Station Development Company Sam Cotton, berkata festival ini bukan sahaja meriah, malah berjaya memperkukuh hubungan budaya antara Asia Tenggara dan komuniti antarabangsa di UK.

celebrASIA 2025 dijangka menjadi acara wajar hadir untuk rakyat Malaysia dan komuniti ASEAN di London serta pelancong antarabangsa yang ingin merasai sendiri keunikan budaya Asia Tenggara di tengah-tengah ibu kota London.

Back To Top