SHAH ALAM: Polis mengesahkan terdapat aktiviti bogel dilakukan empat individu pada program motivasi rumah tangga (eHATI) di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam pada 27 hingga 30 September tahun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata aktiviti itu berlaku di majlis diadakan pada waktu malam dikenali sebagai ‘Queens Night’ dianjurkan syarikat motivasi terbabit.

“Pada malam Queens Night iaitu hari terakhir program eHATI, memang ada kegiatan bogel dilakukan empat individu membabitkan fasilitator dan peserta program berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu, pasangan suami isteri yang juga pengasas program motivasi eHATI bersama empat individu lain berusia antara 26 hingga 57 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas semua suspek iaitu empat wanita dan dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.
Hussein berkata, terdapat dua pakej ditawarkan pada program itu dengan Pakej A berharga sekitar RM6,000, manakala Pakej B berharga kira-kira RM9,000.
“Pakej B ada tambahan program dikenali sebagai ‘Queens Night’ dan aktiviti bogel itu dipanggil sebagai ‘rebirth’.
“Polis turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan pada program berkenaan termasuk beberapa cecair minuman yang ada pada majlis itu,” katanya.

Hussein berkata, pihaknya sudah mengenal pasti 50 peserta yang menyertai program itu dan mereka diminta tampil memberi keterangan.
“Kita sudah ada semua 50 senarai peserta dan setakat ini 30 individu sudah hadir memberi keterangan.
“Siasatan juga mendapati program ini tidak hanya memfokuskan individu beragama Islam, sebaliknya dianjurkan kepada semua,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah menghantar sampel cecair yang dirampas kepada Jabatan Kimia bagi mengetahui kandungannya.
“Kita juga mengesan ada penjawat awam yang menyertai program ini dan siasatan lanjut masih dijalankan, jadi beri kami ruang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan; Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.