Ranhill SAJ Peruntuk RM3 Bilion Tingkat Infrastruktur Air Johor, Sokong Pelarasan Tarif

KUALA LUMPUR, 10 Julai 2025 — Ranhill SAJ Sdn Bhd, syarikat konsesi bekalan air terawat di Johor, memperuntukkan sebanyak RM3 bilion bagi menaik taraf loji rawatan air, menggantikan paip lama, dan memperkukuh sistem bekalan air bagi menghadapi cabaran masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Abdul Ghani, berkata peruntukan itu akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun, termasuk bagi memperluas kapasiti infrastruktur bagi menampung permintaan yang kian meningkat serta memperkenal sistem pintar untuk meningkatkan kecekapan operasi.

“Keterjaminan bekalan air bersih, selamat dan mampan kekal menjadi keutamaan kami. Justeru, pelaburan ini amat kritikal untuk memastikan rakyat Johor menerima perkhidmatan yang cekap dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Anuar, usaha penambahbaikan ini sejajar dengan keperluan semasa seperti pertambahan penduduk, pembangunan pesat dan peningkatan tekanan terhadap sistem bekalan sedia ada.

Beliau turut menyatakan bahawa sokongan terhadap pelarasan tarif air adalah penting bagi menjamin kelestarian usaha tersebut.

“Tanpa pelarasan tarif, keupayaan kami untuk melaksanakan kerja-kerja penaiktarafan aset akan terjejas. Kami percaya langkah ini adalah pelaburan penting demi masa depan sistem bekalan air negara,” tegasnya.

Setakat ini, 10 operator air termasuk Ranhill SAJ telah mengemukakan permohonan pelarasan tarif kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), melibatkan Johor serta sembilan negeri lain iaitu Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Anuar menjelaskan bahawa permohonan pelarasan oleh Ranhill SAJ dibuat berdasarkan kajian terperinci serta proses libat urus bersama pemegang taruh termasuk pengguna.

“Pelarasan ini dirangka secara berhati-hati supaya tidak membebankan majoriti pengguna. Dana yang dikumpul akan disalur semula dalam bentuk pembaikan infrastruktur, termasuk membaiki kebocoran paip, menambah baik loji rawatan dan sistem agihan,” katanya.

Ranhill SAJ, menurutnya, turut komited menyediakan rebat khas kepada kumpulan sasar, dan menghargai kepercayaan berterusan daripada para pelanggan.

“Kami mohon sokongan rakyat. Pelarasan ini bukan semata-mata kenaikan, tetapi pelaburan strategik bagi memastikan bekalan air berkualiti dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.”

“Sebagai negeri yang sedang pesat membangun, Johor memerlukan sistem bekalan air yang kukuh untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” tambah beliau.

Back To Top