KDNK – Selangor Di Tempat Pertama, Perlis Paling Corot

Selangor terus mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa ekonomi utama negara, mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM432.1 bilion yang mengagumkan pada 2024, tertinggi antara negeri.

Dalam kenyataan pada Khamis, Invest Selangor menjelaskan pencapaian cemerlang itu merupakan momentum ketara daripada RM406.1 bilion yang direkodkan pada 2023, menjadikan Selangor sebagai negeri pertama yang melepasi paras RM400 bilion selama dua tahun berturut-turut.

Menurut Invest Selangor, prestasi amat memberangsangkan itu mengukuhkan lagi peranan Selangor sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, menyumbang 26.2 peratus kepada jumlah keseluruhan KDNK Malaysia, meningkat daripada 25.9 peratus pada tahun sebelumnya.

“Daya tahan ekonomi dan momentum pertumbuhan Selangor yang meningkat turut dibuktikan melalui kadar pertumbuhan KDNK tahun ke tahun sebanyak 6.3 peratus, mengatasi purata kebangsaan pada 5.1 peratus.

“Pencapaian ini mencerminkan asas ekonomi negeri yang kukuh, keyakinan pelabur yang berterusan serta usaha strategik negeri dalam menjana pertumbuhan yang berimpak tinggi, inklusif dan mampan,” tambahnya.

Invest Selangor turut memaklumkan pada tahun lalu, negeri itu menyumbang sebanyak 32.9 peratus kepada jumlah keluaran sektor pembuatan Malaysia dan menerajui sektor perkhidmatan dengan sumbangan 26.9 peratus kepada prestasi keseluruhan negara dalam sektor tersebut.

“Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK Selangor, membentuk 61.1 peratus dan mencatat pertumbuhan sebanyak 6.3 peratus untuk mencecah RM263.9 bilion.

“Pertumbuhan ini disokong oleh subsektor seperti perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman; penginapan, utiliti, pengangkutan, penyimpanan, maklumat dan komunikasi; perkhidmatan kewangan dan insurans serta hartanah dan perkhidmatan perniagaan,” jelasnya.

Penyumbang kedua terbesar ialah sektor pembuatan yang meyumbang 29.1 peratus dan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus, didorong oleh subsektor seperti elektrik dan elektronik, minyak dan lelemak sayuran serta haiwan, pemprosesan makanan, minuman dan peralatan pengangkutan.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata kemajuan berterusan itu mencerminkan komitmen bersama dan usaha semua pihak berkepentingan daripada sektor awam dan swasta, masyarakat sivil serta rakyat.

“Bersama-sama, kita membina ekosistem yang berkembang pesat yang bukan sahaja menarik pelaburan malah juga mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memperkasakan komuniti,” katanya.

Agensi itu turut menyatakan komitmen negeri untuk menerajui kepimpinan ekonomi negara melalui platform perniagaan seperti Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025 yang akan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hassan Azhari Idris, berkata prestasi mengagumkan itu adalah hasil daripada perancangan jangka masa panjang dan inisiatif bersasar untuk menarik pelaburan berkualiti dalam industri pertumbuhan tinggi.

“Di Invest Selangor, kami menumpukan kepada pemudahan pelaburan mampan dan dipacu inovasi di samping meningkatkan daya saing global Selangor. Pada Oktober ini, SIBS 2025 sekali lagi akan menjadi platform penting untuk mengetengahkan kekuatan ekonomi Selangor dan menghubungkan pelabur dengan peluang sebenar,” katanya.

Back To Top