Video Empat Pencuri Mesin Coway Masjid As-Siddiqin, Mantin Kena Penjara 10 Tahun

Empat pemuda didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mencuri mesin penapis air di sebuah masjid di Mantin, Nilai, hujung bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Akiq Faiqal Idris, 29, Muhammad Danial Darishan Muhamad Ruduan, 19, Muhammad Syaiful Muhamad, 29, dan Muhammad Zulfikri Sulaiman, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama mencuri sebuah mesin penapis air jenama Coway dalam Masjid As-Siddiqin, Batang Benar, Mantin jam 8.11 malam, 30 Jun lalu.

Sehubungan itu, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Sebelum itu, pada minggu lepas, kegiatan sekumpulan lelaki mencuri mesin penapis air di masjid dan kemudian menjualnya di media sosial terbongkar apabila tertangkapnya lima suspek pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima tiga laporan bersabit kes kecurian mesin penapis air di tiga masjid pada 30 Jun lalu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Negeri Sembilan telah berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

“Kesemua suspek ditahan dalam dua siri tangkapan yang dijalankan di kawasan Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma dan Beranang, Selangor,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, tangkapan pertama dilakukan pada jam lebih kurang 12 tengah hari melibatkan dua suspek utama diikuti tangkapan tiga lagi suspek pada jam lebih kurang 12.15 tengah hari.

Jelas beliau, hasil tangkapan membawa kepada penemuan dan rampasan barang kes utama iaitu satu unit mesin penapis air yang dicuri pada 30 Jun lepas.

“Turut dirampas sebuah kenderaan Proton Gen-2, telefon bimbit, pakaian semasa kejadian dan peralatan digunakan untuk mencabut mesin.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek menyasarkan masjid yang kurang pengunjung untuk mencuri penapis air yang diletakkan di luar ruang solat sebelum menjualnya di media sosial,” katanya.

Selain itu katanya, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan narkotik.

Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati empat daripada lima suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi tadi bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.

Back To Top