Sapura Energy Bhd Adakan EGM Untuk Keluar Status PN17

Sapura Energy Bhd (SEB) akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 30 Julai 2025 untuk pemegang saham melakukan undian terhadap pelan penyusunan semula yang dicadangkan, bertujuan memulihkan kedudukan kewangan syarikat dan keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, SEB menjelaskan terdapat empat komponen utama dalam pelan tersebut iaitu penyusunan semula modal, penstrukturan semula hutang, pengumpulan dana, dan cadangan pengecualian untuk Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH) dan rakan kongsi daripada membuat tawaran am mandatori.

SEB menyatakan langkah penyusunan semula modal membabitkan pengurangan sebanyak 99.99 peratus dan penggabungan saham 20 kepada satu, namun kedua-dua langkah ini tidak akan menjejaskan peratusan pegangan saham bagi pemegang saham sedia ada.

SEB juga memaklumkan pihaknya merancang untuk mengurangkan pinjaman daripada RM10.8 bilion kepada RM5.6 bilion menerusi cadangan penstrukturan semula hutang, yang dijangka dapat mengurangkan kos faedah tahunan sebanyak 60 peratus atau lebih RM500 juta.

Sementara itu, MDH akan melanggan sehingga RM1.1 bilion dalam bentuk saham pinjaman boleh tukar boleh tebus (RCLS) untuk membantu menyelesaikan pembayaran tertunggak kepada vendor dalam ekosistem minyak dan gas tempatan.

Komponen terakhir dalam pelan itu adalah untuk memohon mengecualikan MDH dan pihak-pihak yang bertindak untuk matlamat yang sama daripada membuat tawaran am mandatori sekiranya mereka menukar sepenuhnya RCLS masing-masing.

SEB memaklumkan kaunter bantuan khas untuk pemegang saham akan dibuka mulai 15 Julai bagi membantu menjawab pertanyaan berkenaan pelan penyusunan semula yang dicadangkan itu.

Menerusi kelulusan pemegang saham, syarikat menyasar untuk mengukuhkan kedudukan ekuiti, meningkatkan mudah tunai dan keupayaan pelaksanaan kontrak.

SEB juga menyasar untuk mengembalikan kredibiliti dalam pasaran seterusnya memohon untuk keluar daripada status PN17 apabila mencatatkan keuntungan selama dua suku tahun berturut-turut selepas penstrukturan semula itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan,Muhammad Zamri Jusoh, menyifatkan cadangan itu sebagai langkah tegas dalam menentukan masa depan syarikat, dan sama ada SEB dapat berubah menjadi sebuah entiti yang berdaya tahan serta menguntungkan.

“Dengan menyelesaikan liabiliti legasi, mengukuhkan asas ekuiti dan memperoleh sokongan strategik, kami sedang membina semula asas untuk keuntungan masa depan dan pulangan kepada pemegang saham.

“Kami mengesyorkan supaya semua pemegang saham mengundi dalam menyokong cadangan ini dan bersama-sama menyokong usaha pemulihan dan penciptaan nilai SEB,” katanya.




Back To Top