Gamuda Berhad: Bangga ‘Raja Projek’ atau Liabiliti Negara?

Gelaran “Raja Projek” yang lama melekat pada Gamuda Berhad kini semakin sarat dengan persoalan. Di sebalik kemegahan kontrak dalam tangan dilaporkan media mencecah RM34.6 bilion, reputasi syarikat gergasi pembinaan ini semakin dicemari oleh rangkaian kontroversi, kelewatan projek, dan kaitan dengan individu-individu yang sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

Dibanjiri Projek, Terpalit Skandal

Antara projek utama dalam tangan Gamuda kini termasuk:

  • Projek LRT Pulau Pinang (Segment 1) – RM5-RM8 bilion
  • Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Sabah – RM2.3 bilion
  • Projek MRT di Taipei – RM3.2 bilion
  • Projek air mentah Perak-Pulau Pinang dan tender pusat data serta projek tenaga boleh diperbaharui di Australia dan Selangor

Namun di sebalik senarai projek bernilai tinggi ini, timbul persoalan besar – adakah Gamuda benar-benar wajar terus dianugerahkan kontrak kerajaan?

LRT Pulau Pinang: Saham Bersama Tan Sri Datuk Alex Ooi yang kontroversi

LRT Pulau Pinang, sebuah projek mega infrastruktur yang menjadi tulang belakang kepada visi mobiliti negeri, kini turut dibayangi siasatan skandal pelaburan haram MBI. Projek ini dilaksanakan oleh SRS Consortium Sdn Bhd, di mana Gamuda memegang 60% pegangan, manakala dua rakan kongsi lain ialah Loh Phoy Yen Holdings (20%) dan Ideal Property Development Sdn Bhd (20%) – syarikat milik Tan Sri Datuk Alex Ooi. Pelobi projek ialah Tan Sri Datuk Alex Ooi.

Pada April 2025, Alex Ooi telah ditahan oleh pihak berkuasa susulan penglibatannya dalam skim pelaburan haram MBI, yang dikendalikan oleh taikun pelarian Tedy Teow. Penahanan ini memberi kesan langsung terhadap persepsi ke atas projek LRT dan menimbulkan tanda tanya terhadap proses pemilihan konsortium tersebut.

Walaupun Gamuda tidak terlibat secara langsung dalam skim MBI, penglibatannya bersama entiti yang kini dikaitkan dengan jenayah kewangan jelas menjejaskan integriti keseluruhan projek.


Ulu Padas: Projek RM2.3 Bilion yang Masih Kabur

Di Sabah pula, projek hidroelektrik Ulu Padas 187.5 MW yang dibangunkan oleh Gamuda melalui pegangan 45% dalam UPP Holdings Sdn Bhd, menghadapi halangan besar – kegagalan memuktamadkan Power Purchase Agreement (PPA) dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) setakat Julai 2025.

Rundingan tergendala kerana permintaan kadar tarif yang terlalu tinggi iaitu sekitar RM0.38–0.40/kWh, jauh melebihi kadar hidroelektrik biasa. Tanpa PPA yang sah, projek ini:

  • Tidak mempunyai jaminan pendapatan jangka panjang
  • Sukar memperoleh pembiayaan bank
  • Berisiko gagal disiapkan menjelang sasaran COD 2030

Kegagalan mengurus rundingan penting ini membayangkan kelemahan perancangan dan potensi risiko kepada pembayar cukai, jika projek memerlukan penyusunan semula kewangan atau intervensi kerajaan kelak.

Pengambilan syarikat Sabah Electricity oleh Kerajaan Sabah menjelang 7 tahun dari sekarang menjadikan Kerajaan Sabah berhati-hati menerima kontrak dan tarif yang mahal. Jika tidak Kerajaan Sabah akan menanggung kos subsidi yang besar sebagaimana sekarang ditanggung Kerajaan Persekutuan.

Gelojoh dan terlalu dominan

Menurut laporan RHB Investment Bank, Gamuda sedang bergerak ke arah RM45 bilion kontrak dalam tangan menjelang hujung 2025. Malah, syarikat ini turut dijangka menerima projek bekalan air Sabah bernilai RM3–4 bilion tidak lama lagi. Namun, di sebalik pujian terhadap kecekapan dan keuntungan mereka, muncul kerisauan besar – kebergantungan kerajaan kepada satu entiti tunggal.

Jika terlalu banyak projek infrastruktur utama negara diserahkan kepada Gamuda, tanpa pertimbangan menyeluruh terhadap konflik kepentingan, risiko pelaksanaan dan latar belakang rakan kongsi – negara boleh terjerumus ke dalam ketaksuban “subkontraktor tunggal” yang berbahaya.

Kerajaan Wajar Bertindak: Henti Anugerah, Audit Bebas

Dengan siri kontroversi dan prestasi bercampur-campur ini, sudah tiba masanya kerajaan menilai semula pendekatan pemberian projek kepada Gamuda. Beberapa langkah segera dicadangkan:

  1. Penggantungan sementara pemberian projek baharu kepada Gamuda sehingga siasatan penuh ke atas projek LRT Pulau Pinang dan Ulu Padas diselesaikan.
  2. Audit bebas terhadap semua projek sedia ada yang melibatkan Gamuda dan rakan konsortiumnya.
  3. Dasar pemisahan projek strategik, supaya satu entiti tidak memonopoli pelbagai projek infrastruktur kritikal serentak.

Gamuda: Raja Projek, Tapi Sampai Bila?

Gamuda mungkin bijak melaksanakan projek, tetapi dalam sistem yang telus dan adil, keupayaan sahaja tidak mencukupi. Kebertanggungjawaban, integriti dan ketelusan dalam pemilihan rakan niaga serta rundingan komersial adalah keutamaan negara.

Jika kerajaan terus menutup mata, gelaran “Raja Projek” ini bukan sahaja akan makan diri, malah memakan kepercayaan rakyat terhadap dasar pembinaan negara.

Back To Top