Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 April 2025 sebanyak RM129.83 juta, berbanding RM70.04 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi suku dikaji itu juga meningkat kepada RM878.19 juta berbanding RM555.76 juta sebelum ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EcoWorld menyatakan bahawa peningkatan pendapatan itu adalah hasil daripada penyatuan penuh keputusan Paragon Pinnacle Sdn Bhd, pemaju kepada projek Eco Grandeur dan Eco Business Park V, yang sebelum ini merupakan usaha sama 60 peratus milik kumpulan tersebut.

“Penyempurnaan penjualan 123 ekar tanah industri di taman perniagaan QUANTUM Edge kepada Microsoft Payments (Malaysia) Sdn Bhd turut menyumbang kepada pertumbuhan hasil,” katanya.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 April 2025, keuntungan bersih meningkat kepada RM210.18 juta daripada RM139.68 juta dalam tempoh yang sama sebelumnya, dan pendapatan meningkat kepada RM1.42 bilion berbanding RM1.09 bilion.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah, berkata syarikat berada di landasan kukuh untuk melepasi sasaran jualan tahun kewangan 2025 sebanyak RM3.5 bilion.
“Dalam hanya tujuh bulan tahun kewangan 2025, kami telah mencatat jualan sebanyak RM2.99 bilion, iaitu 85 peratus daripada sasaran jualan setahun penuh. Jualan terkumpul setakat ini dalam tahun kewangan 2025 juga adalah 37 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama dalam tahun kewangan 2024.

“Ini membolehkan kumpulan mencatat kedudukan hasil masa depan tertinggi dalam sejarah kami, iaitu sebanyak RM5.22 bilion setakat 31 Mei 2025,” katanya.
Khim Wah turut menyatakan bahawa bagi terus memanfaatkan permintaan kukuh dalam sektor ini, kumpulan telah memuktamadkan terma bagi satu kerjasama strategik bersama SD Guthrie Bhd dan NS Corporation dalam suku kedua 2025 untuk membangunkan 483.59 hektar tanah di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan,” tambahnya.
EcoWorld mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 2.0 sen sesaham bagi suku semasa, menjadikan jumlah dividen setakat ini kepada 3.0 sen sesaham.