Dengan nada yang tegas, Tan Sri Azam Baki menegaskan beliau tiada isu personal dengan sesiapa dan kes Syed Saddiq akan dirayu lagi di Mahkamah Persekutuan. Sebaik sahaja Mahkamah Rayuan menyatakan keputusan, SPRM terus sahaja membuat Kenyataan Media terhadap kes tersebut.
Pihak pendakwaan akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang melepaskan dan membebaskan ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada sabitan salah dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut.
“Saya telah dimaklumkan oleh pendakwa raya bahawa mereka akan membuat rayuan kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini.
Terdahulu Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara membebaskan Syed Saddiq daripada semua sabitan dan hukuman melibatkan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah jenayah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Pemuda Bersatu (Armada).
Keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 mensabitkan kesalahan bekas menteri belia dan sukan itu dan menjuatuhkannya hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta.
Sementara itu, Azam ketika ditanya sama ada dia kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini, menegaskan bahawa dia tidak mempunyai sentimen peribadi dengan sesiapa dalam menjalankan tugas.
“Saya tiada (isu) personal dengan sesiapa, saya tak ada kecewa atau suka dalam menyiasat apa-apa kes,” katanya.