Gamuda Dapat Projek Lebuh Raya Bernilai NZ$3.8 bilion Di New Zealand

Gamuda Bhd mengukuhkan pendedahan dalam sektor pembinaan di luar negara selepas konsortium Together North yang disertainya disenarai pendek untuk projek lebuh raya Northland Corridor (NCH) di New Zealand yang meliputi seksyen Warkworth ke Te Hana.

Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata sekiranya konsortium yang turut disertai oleh empat ahli lain itu berjaya menjadi pembida terpilih, projek terbabit akan menjadi tambahan baik kepada pendedahan pembinaan Gamuda di luar negara yang ketika ini meliputi Australia, Taiwan, dan Singapura, dengan membentuk sekitar 50 hingga 60 peratus daripada jumlah buku pesanan kumpulan.

“Dua lagi konsortium juga telah disenarai pendek untuk seksyen Warkworth ke Te Hana dalam NCH-Northway dan Go>North.

“Peringkat pertama projek ini membabitkan lebuh raya empat laluan sepanjang 26 kilometer dari Warkworth ke Te Hana yang bersambung dengan lebuh raya baharu dari Puhoi ke Warkworth.

“Reka bentuk yang ditunjukkan untuk lebuh raya Warkworth ke Te Hana ini termasuk sebuah terowong berkembar sepanjang 850 meter di Dome Valley dan tiga laluan pertukaran yang terletak di Warkworth, Wellsford dan Te Hana,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Adam berkata, dari segi nilai indikatif projek bagi seksyen Warkworth ke Te Hana dalam NCH, anggaran kos modal antara NZ$2.9 bilion dan NZ$3.8 bilion diberi pada 2024 oleh Agensi Pengangkutan New Zealand.

Dari aspek garis masa pula, beliau berkata pembida terpilih untuk projek ini yang dilaksanakan menggunakan model kerjasama awam swasta (PPP) dijangka ditentukan pada awal 2026.

Menurutnya, dengan tertakluk pada kejayaan rundingan, kontrak ini kemudiannya dijadual akan ditawarkan pada pertengahan tahun depan, dan konsortium PPP yang berjaya meraih kontrak ini dijangka memulakan reka bentuk terperinci serta kerja pembinaan awal pada akhir 2026.

“Berdasarkan kompilasi kami, Gamuda sekarang mempunyai empat kerja disenarai pendek di luar negara, iaitu satu di New Zealand dan tiga di Australia, dengan nilai kumulatif lebih kurang RM30 bilion, yang belum lagi mengambil kira pegangan saham berkesan dalam konsortium yang disertainya.

“Tambahan lagi, Gamuda juga mempunyai pakej pelibatan kontraktor awal (ECI) untuk pelbagai projek tenaga boleh baharu (RE) di Australia yang biasanya mempunyai kadar lebih tinggi untuk ditukarkan menjadi kontrak penuh bernilai sekurang-kurangnya A$3 bilion untuk tiga projek,” katanya.

RHB Investment Bank mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham Gamuda dengan harga sasaran RM5.64, kenaikan sebanyak 20 peratus dengan kadar hasil dividen sekitar dua peratus untuk tahun kewangan 2026.

Back To Top