Nahas Bas UPSI, Kerajaan Akan Laksanakan Speed Limiter – Anthony Loke

Kerajaan kini sedang merangka dasar baharu termasuk pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat sebagai langkah memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata dasar berkenaan sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk mekanisme bagi menutup sebarang ruang manipulasi apabila ia dikuatkuasakan kelak.

“Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

“Kami komited untuk melindungi pengguna jalan raya, terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab dan kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Semalam, negara dikejutkan dengan nahas yang meragut nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Selepas terbalik bas terbabit melanggar Perodua Alza menyebabkan kenderaan itu terbabas ke parit di bahagian kanan jalan.

Tragedi itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas, selain pemandu serta tiga penumpang MPV jenis Perodua Alza.

Isu keselamatan, tambah baik jalan raya timur-barat dibawa ke mesyuarat Kabinet esok

Sementara itu di Georgetown, Anthony Loke berkata Kementerian Pengangkutan akan membawa isu keselamatan dan langkah-langkah segera yang boleh diambil untuk menambah baik Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Menurutnya, kementerian memandang serius kemalangan ngeri membabitkan 15 kematian di jalan berkenaan awal pagi semalam, akan bekerjasama dengan beberapa kementerian lain untuk meninjau langkah segera yang boleh diambil bagi meningkatkan penambahbaikan di laluan tersebut.

“Dari segi aspek keselamatan jalan raya, kita memandang serius, kita perlu bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan perkara itu akan saya bangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok pagi, untuk kita lihat apakah langkah-langkah segera yang boleh diambil.

“Khususnya isu keselamatan di JRTB itu yang memang menjadi perhatian kita, yang pertamanya bukan sahaja penghadang jalan, tetapi dari segi keadaan jalan dan juga dari segi kekurangan lampu jalan,” katanya selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 hari ini.

Semalam negara dikejutkan dengan nahas yang meragut nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di KM53 JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Mengenai keadaan infrastruktur jalan di laluan terbabit kemalangan itu terutama berkaitan penghadang besi yang dikatakan agak lama, Loke berkata kerajaan mengambil maklum termasuk aspek penghadang jalan dan pencahayaan, justeru Kementerian Pengangkutan akan memasang lampu jalan jenis solar bagi mengatasi masalah pencahayaan pada waktu malam di laluan itu.

”Dari segi spesifikasi dan tindakan lanjut berkaitan penghadang jalan, itu di bawah Kementerian Kerja Raya, namun aspek keselamatan jalan raya memerlukan kerjasama antara pelbagai kementerian,” katanya.

Loke berkata beliau sendiri akan melakukan lawatan ke tapak kemalangan semalam pada Khamis ini bersama pihak berkaitan bagi menilai sendiri keadaan dan keperluan tindakan segera.

APAD mohon rekod GPS bagi tentukan adakah bas dipandu laju

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan itu, dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pula telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat bas terbabit, selain memohon rekod Sistem Pengesanan Global (GPS) bagi menentukan sama ada bas tersebut dipandu laju semasa kejadian.

”Apabila berlaku kemalangan, polis akan membuat siasatan terperinci dari segi unsur jenayah, JPJ pula akan melihat kepada perkara-perkara teknikal dan juga audit keselamatan terhadap syarikat dan itu yang telah kita lakukan semalam di lokasi kejadian.

”Kita perlukan pelbagai maklumat, terutamanya laporan JPJ dan juga rekod GPS bas tersebut. Kita hendak tahu sama ada ia memecut atau tidak, kita juga akan laksanakan audit terhadap syarikat termasuk latar belakang pemandu bas,” katanya.

Loke turut menjelaskan pihaknya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis dan JPJ untuk menyelesaikan siasatan secara terperinci dan adil.

Back To Top