Biarpun Dibuang Kerja, Petronas Akan Bantu 6,000 Orang Yang Kena Buang

PETRONAS menegaskan komitmennya terhadap kebajikan warga kerja ketika syarikat meneruskan transformasi strategik dalam menghadapi ‘polycrisis’ yang berpunca daripada tekanan global dan cabaran berterusan untuk mengoptimumkan potensi sumber minyak dan gas negara.

Sebagai langkah menyokong proses transformasi itu, syarikat menjangkakan pengurangan tenaga kerja sekitar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan kakitangan. Meskipun sukar, keputusan itu disifatkan perlu bagi memastikan PETRONAS kekal berdaya saing dan terus menyumbang kepada negara.

Bagi memastikan proses pelarasan itu dilaksanakan secara adil, objektif dan sistematik, PETRONAS telah menubuhkan Majlis Peralihan serta Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan bagi tujuan pemetaan bakat dan penempatan semula pekerja. Keputusan berkaitan dibuat secara kolektif berpandukan platform berstruktur.

Menurut PETRONAS, semua langkah diambil menepati kehendak perundangan dan mematuhi amalan perhubungan industri yang ditetapkan. Sesi libat urus turut diadakan bersama Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan pelaksanaan perancangan menepati keperluan undang-undang.

“Bagi menyokong pekerja yang terkesan, satu program peralihan menyeluruh telah dirangka. Setiap keputusan dibuat dengan penuh keadilan, rasa hormat dan profesionalisme.

“PETRONAS kekal komited terhadap kebajikan kakitangannya dan memastikan mereka yang terlibat dilayan dengan belas ihsan dan penuh rasa hormat. Mereka juga akan menerima pakej pemisahan yang kompetitif, melebihi keperluan minimum ditetapkan undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain bantuan kewangan, PETRONAS turut menyediakan pelbagai sokongan lain kepada pekerja terlibat, termasuk bimbingan kerjaya dan bantuan pencarian kerja, perkhidmatan sokongan emosi, Program Bantuan Perubatan, latihan peningkatan dan pengembangan kemahiran, serta panduan perancangan kewangan.

Pakej dan manfaat itu disusun berdasarkan tempoh perkhidmatan individu, dan akan berbeza mengikut kategori pekerja serta kelayakan masing-masing.

“PETRONAS juga bekerjasama dengan PERKESO melalui MyFutureJobs bagi meneroka peluang penempatan pekerjaan baharu untuk pekerja terjejas dalam sektor lain.

“Pada masa sama, kami turut menjalin kerjasama rapat dengan pelbagai syarikat milik kerajaan (GLC) bagi memudah cara penempatan dalam organisasi mereka.

“Bagi mereka yang ingin meneroka kerjaya alternatif, Program Keusahawanan yang dikendalikan PETRONAS Innovation Garage menawarkan laluan bimbingan ke arah pemilikan perniagaan,” katanya lagi.

Transformasi ini, menurut PETRONAS, adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh daya tahan dan daya saing syarikat dalam persekitaran peralihan tenaga yang mencabar serta landskap industri yang terus berubah.

Ia juga bertujuan memastikan PETRONAS terus kekal relevan menerusi pelaburan yang berfokus serta pembangunan tenaga kerja berprestasi tinggi dan berpaksikan nilai.

PETRONAS kini sedang beralih kepada model syarikat tenaga yang tangkas dan bersepadu, selain terus komited menyampaikan penyelesaian tenaga yang selamat, boleh dipercayai dan lestari – sekali gus mendukung matlamat menjadi penyedia tenaga rendah karbon pada masa depan.

Back To Top