Bukan sahaja kelab bolasepak yang diterajui oleh Vincent Tan mengalami “kerugian”, syarikat Berjaya Corporation Bhd milik Vincent Tan juga mengalami kerugian besar.

Berjaya Corporation Bhd (BCorp) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM92.34 juta bagi tempoh suku ketiga yang berakhir 31 Mac 2025 daripada keuntungan bersih sebanyak RM689.92 juta pada suku yang sama tahun lalu.
Prestasi itu disebabkan kerugian dalam segmen hartanah, hospitaliti dan runcit makanan.
Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, perolehan susut kepada RM2.54 bilion daripada RM2.78 bilion sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen hartanah dan runcit makanan.
Perniagaan runcit makanan mencatatkan kerugian sebelum cukai yang lebih tinggi pada suku semasa, terutamanya disebabkan oleh prestasi yang lemah bagi operasi Kenny Rogers Roasters serta kos pra-operasi tambahan yang ditanggung bagi operasi baharu kumpulan di luar negara.
“Bagaimanapun, perniagaan runcit bukan makanan mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih tinggi, dipacu terutamanya oleh prestasi kukuh H.R. Owen Plc, seiring dengan peningkatan perolehan yang dicapai pada suku semasa.
“Peningkatan ini mengimbangi keputusan lebih rendah daripada operasi Cosway susulan penutupan kedai yang tidak mencapai prestasi memuaskan di beberapa negara,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.
Segmen hospitaliti mencatatkan kerugian sebelum cukai yang lebih tinggi, terutamanya disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan operasi yang ditanggung dalam suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025.
“Hasil perolehan lebih rendah yang dilaporkan oleh perniagaan runcit makanan terutamanya disebabkan oleh pengurangan jumlah kafe Starbucks yang beroperasi daripada suku yang sama tahun sebelumnya serta pemberhentian operasi Papa John’s Pizza di Filipina pada suku semasa,” katanya.
Selain itu, syarikat berkata segmen hartanah mencatatkan perolehan yang lebih rendah, terutamanya disebabkan oleh penyiapan projek The Tropika di Bukit Jalil pada suku terakhir tahun kewangan sebelumnya.
“Namun begitu, penurunan ini diimbangi peningkatan jualan unit kediaman daripada satu projek tempatan pada suku semasa yang sedang dinilai,” katanya.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, kumpulan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM348.87 juta daripada keuntungan bersih sebanyak RM580.23 juta sebelumnya manakala perolehan merosot kepada RM6.97 bilion daripada RM7.58 bilion sebelumnya.

Tahun lepas, Kerugian bersih bagi tempoh tiga bulan yang berakhir pada 30 September 2024 (1QFY2025) adalah sebanyak RM167.85 juta, menurut pemfailan di bursa saham.
Berjaya Corp rugi suku ketiga RM167.85 juta, pendapatan menurun sebanyak 13.29% – Malaysia Corporate
Mengenai prospek, BCorp berkata kumpulan akan memantau perkembangan politik global dan tempatan yang sedang berlaku di negara-negara yang mempunyai operasi perniagaan syarikat.

Sementara itu, prestasi segmen perniagaan domestik kumpulan dijangka bertambah baik berikutan perbelanjaan pengguna yang kukuh serta peningkatan aktiviti pelancongan.
“Pengarah syarikat berasa yakin dengan berhati-hati berhubung prestasi operasi perniagaan kumpulan bagi baki suku tahun kewangan 2025 yang dijangka memuaskan,” katanya.
Semalam juga, Datuk Farhash Wafa Salvador telah membuat pengumuman perletakan jawatan sebagai Pengerusi 7-Eleven, rangkaian syarikat sama yang dimiliki oleh Vincent Tan.