
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dalam episod terbaharu podcast Keluar Sekejap, melontarkan kritikan pedas terhadap seorang Timbalan Menteri yang disifatkan membuat kenyataan berhubung teknologi kecerdasan buatan (AI) tanpa memahami implikasi geopolitik dan teknikalnya.
Dalam episod bersama Shahril Hamdan itu, Khairy menyifatkan kenyataan Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi berkenaan sebagai “melangkaui kedudukannya” dan menyifatkan Nie Ching gagal memahami kandungan sebenar kenyataannya sendiri.
“Saya kalau gunakan istilah orang putih, this was well above her pay grade lah. Ini melangkaui kedudukan dia. Dia tak sepatutnya cakap pasal benda ni yang dia tak faham,” ujar Khairy Jamaluddin.
KJ merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri tersebut yang mendakwa Malaysia mempunyai keupayaan full stack dalam teknologi AI menggunakan teknologi dari China.
Istilah full stack, jelas Khairy, merangkumi infrastruktur fizikal pusat data, cip pemprosesan GPU, pelaksanaan model bahasa besar (LLM), serta keseluruhan rantaian nilai AI — semua yang menurutnya mempunyai implikasi strategik besar dalam persaingan teknologi global antara China dan Amerika Syarikat.
“The moment you say Malaysia ada full stack capability for AI using Chinese technology… of course akan ada respond daripada US,” katanya sambil menambah bahawa tindakan itu seolah-olah menyerahkan “kedaulatan AI” negara kepada China.

Beliau turut mendedahkan bahawa susulan kenyataan tersebut, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bertindak segera mengeluarkan kenyataan penafian bahawa projek itu hanya inisiatif swasta dan bukan dasar kerajaan.
Shahril Hamdan dalam podcast yang sama turut mengecam Nie Ching. Shahril membandingkan kenyataan Timbalan Menteri itu dengan pelaksanaan projek sovereign LLM yang diumumkan oleh YTL.AI menggunakan cip Nvidia, dan berkata adalah mengejutkan jika seorang Timbalan Menteri tidak menyedari inisiatif utama negara itu sebelum membuat kenyataan awam.
“So suddenly ada baru daripada Skyvest ni, a bit unfortunate lah benda itu berlaku,” kata Shahril, merujuk kepada satu lagi syarikat yang terlibat dalam projek berkaitan.
Dalam nada sinis, Khairy menutup dengan kemungkinan lain yang lebih tajam;
“Oh, we can be nefarious and say she knew exactly what she was talking about and she was batting for the other side.”

Pihak mana yang dimaksudkan itu? Kenyataan tersebut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan pemerhati industri teknologi tempatan, terutama sekali dalam konteks sensitiviti geopolitik dan keselamatan data negara.
Setakat ini, Timbalan Menteri yang dimaksudkan belum memberikan sebarang kenyataan balas terhadap kritikan tersebut. Semalam dua orang menteri sudah bercuti dan meletak jawatan.
Jika ada rombakan kabinet, PMX perlu mengkaji semula kedudukan Nie Ching di Kementerian Komunikasi. PMX perlu mencari seseorang yang ada kebolehan dan berpengalaman dalam menguruskan hal komunikasi dan teknologi kerana perkara ini sekarang ini menjadi agenda besar di peringkat antarabangsa. Jika tersalah cakap boleh menjadi bencana terhadap hubungan diplomatik antarabangsa.