NexG Bhd syarikat pembekal kad pengenalan Malaysia bakal jual sahamnya kepada Firma pelaburan China LUN Partners Group?

NexG Berhad syarikat dikuasai mafia korporat Victor Chin Boon Long mengumumkan bekerjasama dengan firma pelaburan China LUN Partners Financial Limited (LPF) untuk meneroka peluang bekerjasama dalam pengkomersialan teknologi dan rumusan milik NexG di peringkat antarabangsa, yang tidak terhad kepada teknologi pengesahan identiti digital dan keselamatan siber.

Tahun lalu portal ini mendedahkan NextG atau dulu dikenali Datasonic Group Bhd pembuat kad pengenalan dan passport Malaysia jatuh ke tangan mafia korporat selepas Pengerusi dan CEOnya Datuk Hanifah Noordin bersekongkol dengan Victor Chin Boon Long.




Hari ini Datuk Hanifah Noordin mengumumkan kerjasama firma China kononnya sebagai langkah penting dalam strategi syarikat memperluaskan penawaran rumusan identiti digital selamat, keselamatan siber dan teknologi kewangan ke pasaran Asia dan global.

NexG dan LPF akan bekerjasama memacu inovasi produk dan aplikasi bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat terhadap infrastruktur digital dipercayai melibatkan kedua-dua sektor awam dan swasta di seluruh dunia.

“NexG akan menyediakan akses kepada teknologi hak milik dibangunkan di Malaysia termasuk sokongan teknikal, penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berterusan, serta penyesuaian sistem selain memastikan kesepadanan dengan piawaian global,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Apakah LUN Partners Group akan membuat pelaburan memberi dana dan bakal memiliki saham NexG? Ini kerana cara LUN Partners Group bekerja ialah mereka menyediakan perancangan strategik, nasihat penggabungan dan pengambilalihan (M&A), serta sokongan untuk kemasukan ke pasaran baharu.

Menurut Hanifah Noordin NexG sebagai peneraju dalam bidang rumusan teknologi selamat dan pengenalan digital yang tersenarai di Bursa Malaysia, yakin dapat mempercepatkan lagi penggunaan platform digital lebih selamat dan berskala dalam pelbagai ekonomi digital.

LPF ialah anak syarikat LUN Partners Group (LPG) berpangkalan di Shanghai serta Hong Kong dan Tokyo diasaskan oleh Peilung Li seorang usahawan dari China. LPF memberi tumpuan kepada pelaburan dalam syarikat teknologi digital, terutama sektor kewangan (FinTech), kecerdasan buatan (AI), Big Data serta pembuatan pintar, termasuk pelaburan dalam enam syarikat berstatus unicorn.

Peilung Li pengasas LUN Partners Group (LPG)

Asas kukuh LPF melabur dalam NexG ialah kerana NexG satu-satunya syarikat yang melaksanakan projek kad pengenalan dan passport Malaysia.

Menurut Pengarah Urusan LPF, William Ding pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan NexG untuk meningkatkan lagi tahap teknologi inovatif mereka di seluruh dunia dan pada masa yang sama, membawa NEXG ke dalam rangkaian rakan kongsi globalnya.

“Kami memperkukuhkan ekosistem antarabangsa kami terutamanya di rantau Asia Tenggara, dan membuka peluang baharu untuk transformasi digital pasaran yang menuntut daya tahan, kepercayaan dan kepakaran teknikal yang mendalam,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Kerajaan yang memiliki saham dalam NexG melalui Urus Harta Jemaah (UJ) perlu memantau NexG memandangkan semua projeknya berkaitan dokumen berstatus RAHSIA KERAJAAN yang mungkin membahayakan data-data rakyat Malaysia. Kerjasama dan pemilikan syarikat asing adalah sangat berbahaya.

Jika melihat strategi NexG ia merupakan taktik Victor Chin Boon Long dalam mencuri duit mana-mana syarikat senarai awamnya sebagaimana sebelum ini menggunaka pembelian syarikat ‘sampah’ Innov8tif Holdings Sdn Bhd bernilai RM40 juta milik Revenue Group yang bertukar tangan sebanyak lima kali dan kini dijual kepada NexG Bhd (Datasonic Group Bhd). Dari RM17.5 juta di Green Packet kepada Hong Seng RM30.85 juta, kepada Revenue Group RM36 juta dan kini dijual kepada Datasonic Group dengan markup harga sehingga RM40 juta.

Datasonic atau NexG merupakan syarikat yang sebelum ini dikuasai Datuk Fakhri Yassin anak Tan Sri Muhyiddin melalui proksinya Dato’ Safian Mohd Yunus yang mengawal sejumlah 386,348,000. Ini termasuk 133,846,000 saham dalam Demi Mekar, 170,000,000 dalam Kuantum Juang, dan 82,500,000 dalam Hallmark Epitome. Selain itu, 133,846,000 saham dikawal melalui Titian Tegap melalui penama beliau, Dato’ Razali Mohd Yusof, dan 122,000,000 saham melalui Daya Lestari yang diuruskan oleh rakan perniagaan beliau, Dato’ Lim Chee Meng.

NexG dikuasai anak Tan Sri Muhyiddin sebelum ini sebelum diambil alih Mafia Korporat atas nama Tan Sri Adib bekas Pengerusi MMAG Holding milik Victor Chin Boon Long

Dato’ Safian Mohd Yunus melepaskan semua sahamnya untuk dikuasai oleh mafia korporat Malaysia. Kini semuanya dikuasai Datuk Hanifah Noordin dan Victor Chin Boon Long. Dalam masa sama Nexg juga kini merupakan pemegang saham terbesar syarikat milik Victor Chin Boon Lng MMG Holdings Bhd.

FAKTA BERKAITAN LUN PARTNERS FINANCIAL LIMITED

LUN Partners Financial Limited (LPF) ialah cabang perkhidmatan kewangan kepada LUN Partners Group beribu pejabat di Shanghai, dengan pejabat tambahan di Hong Kong dan Tokyo, kumpulan ini memberi tumpuan kepada pelaburan dalam syarikat teknologi digital terutamanya dalam sektor teknologi kewangan (FinTech), kecerdasan buatan (AI), analitik data besar, dan teknologi pembuatan pintar.

Profil Syarikat
Nama Penuh: LUN Partners Financial Limited
Ibu Pejabat: Shanghai, China
Ditubuhkan: 2016
Jenis Syarikat: Firma pelaburan swasta (ekuiti persendirian dan modal teroka)
Kawasan Operasi: Global (Amerika Utara, Eropah, Asia, Afrika, Amerika Selatan)
Laman Web Rasmi: www.lunpartners.com

Fokus Pelaburan

LPF mengendalikan pelbagai dana pelaburan, termasuk modal teroka dan ekuiti persendirian, serta menyediakan perkhidmatan pengurusan kekayaan dan nasihat kewangan. Mereka membuat pelaburan dari peringkat awal hingga pertumbuhan, dengan tumpuan kepada syarikat dalam sektor seperti teknologi kewangan, teknologi pendidikan, teknologi hiburan, Internet of Things (IoT), dan teknologi tinggi lain.

Pelaburan

Antara pelaburan terkenal LUN Partners termasuk:

MFS Africa: Syarikat perkhidmatan kewangan yang menerima pelaburan dalam pusingan pembiayaan Siri B dan Siri C.

Quantifeed: Syarikat teknologi kewangan yang menyediakan platform pengurusan kekayaan digital.

Apa terjadi kepada MFS Africa ?

Syarikat bertukar nama kepada Onafriq.

Pada April 2018, MFS Africa menjadi syarikat fintech pertama di Afrika yang menerima pembiayaan dari LUN Partners Group, sebuah firma pelaburan berpangkalan di Shanghai, China.

  • Dalam pusingan pembiayaan Siri B tersebut, MFS Africa berjaya meraih USD4.5 juta.
  • LUN Partners mengetuai pelaburan tersebut bersama pelabur seperti Goodwell Investments dan beberapa pelabur angel
  • Pelaburan ini bertujuan untuk mengembangkan perkhidmatan pembayaran MFS Africa ke seluruh benua Afrika dan negara-negara lain di bawah inisiatif “Belt and Road” China.
  • November 2021: MFS Africa menutup pusingan pembiayaan Siri C bernilai USD100 juta dengan penyertaan berterusan daripada LUN Partners.
  • Jun 2022: Mereka melanjutkan pusingan Siri C dengan tambahan USD100 juta, menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan Siri C mencecah USD200 juta.
  • Pelabur baru seperti Admaius Capital Partners, Vitruvian Partners dan AXA IM Alts turut menyertai bersama pelabur sedia ada seperti LUN Partners Group

China masuk sebagai ‘pelabur minoriti strategik’

  • LUN Partners bukan pemilik majoriti, tetapi mereka menjadi pelabur dari awal (Siri B) dan terus masuk dalam pusingan pembiayaan besar (Siri C dan lanjutan).
  • Seperti yang sering berlaku dalam pelaburan China di Afrika, pelaburan minoriti digunakan sebagai pintu masuk untuk mempengaruhi keputusan strategik — bukan semestinya melalui kuasa undi, tetapi melalui akses pasaran, teknologi dan leverage diplomatik.
  • Salah satu objektif utama kerjasama dengan LUN Partners ialah membuka aliran pembayaran digital dari Afrika ke China.
  • Ini selari dengan strategi “Digital Silk Road” China — bukan semata-mata untung komersial, tapi akses kepada data, kawalan naratif ekonomi, dan pengaruh dalam sistem pembayaran negara membangun.

Apa yang LUN Partners mahu? Ya bukan semata-mata untung komersial, tapi akses kepada data, kawalan naratif ekonomi, dan pengaruh dalam sistem pembayaran negara membangun.

Jika LUN Partners masuk dalam NexG apa dia dapat? NexG atau dulunya Datasonic Group merupakan pembekal utama bagi MyKad dan pasport Malaysia dalam projek Pengurusan dokumen identifikasi dan keselamatan selain, kawalan sempadan, pemperibadian kad kredit dan debit, sistem pengesahan biometrik, Infrastruktur rangkaian telekomunikasi dan Analitik data

Back To Top