Pihak berkuasa persaingan Switzerland semalam mengarahkan Booking.com untuk mengurangkan kadar komisen bagi tempahan hotel hampir suku daripada kadar semasa.
Ia diputuskan selepas rundingan antara kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan, lapor agensi berita Jerman dpa.

Booking.com yang berpangkalan di Amsterdam berkata ia akan mencabar keputusan tersebut melalui tindakan undang-undang.
Siasatan pihak berkuasa Switzerland mendapati platform tempahan hotel dalam talian itu telah menyalahgunakan kedudukan pasaran untuk mengenakan kadar komisen yang dianggap sebagai ‘amalan tidak wajar’.
Pihak berkuasa itu menjelaskan bahawa langkah terbabit bertujuan untuk mengukuhkan daya saing hotel di Switzerland dalam pasaran global yang mencabar dan secara tidak langsung mengurangkan beban kewangan ke atas pelanggan.
Booking.com membantah keputusan itu dan menyatakan bahawa mereka tidak bersetuju dengan pengurangan paksa terhadap produk yang sepenuhnya bersifat pilihan.

Syarikat itu menegaskan bahawa hotel tidak dipaksa menawarkan bilik mereka melalui platform berkenaan, yang mendakwa sebagai platform terbesar seumpamanya.
Menurut Booking.com, kadar komisen sedia ada akan kekal sementara rayuan terhadap keputusan itu diproses.