MITI Tarik Balik Kenyataan Teo Nie Ching Berkaitan Penggunaan Chip Huawei

Pengumuman yang dibuat oleh Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi berkaitan pengunaan chip The Ascend 910 AI oleh Huawei telah menimbulkan reaksi balas daripada White House.

Menurut Bloomberg, kerajaan Malaysia pada awalnya mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan 3,000 pelayan AI yang dikuasakan oleh cip GPU Huawei Ascend di seluruh negara menjelang tahun 2026, sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama yang mengguna pakai teknologi ini pada skala nasional.

Langkah ini dilihat sebagai kemenangan besar buat pengaruh teknologi China di Asia Tenggara, pada ketika Amerika Syarikat giat berusaha mengekang peluasan global AI oleh China.

Namun begitu, Rumah Putih bertindak balas dengan pantas terhadap pengumuman tersebut. Penasihat tertinggi AI kepada Presiden AS Donald Trump, David Sacks, menggunakan pengumuman itu sebagai bukti kebimbangan terhadap pengaruh teknologi China yang semakin meluas di pasaran strategik.

Sacks turut menyindir bahawa pelonggaran sekatan cip era Biden oleh pentadbiran Trump berlaku “pada masa yang tepat” bagi menyekat dominasi China yang berpotensi. Amerika Syarikat dan Malaysia memang sudah diketahui umum mempunyai pelaburan besar bernilai RM20 billion menerusi NVIDIA menerusi Pusat Data di Johor.

Pusat Data di Johor adalah inisiatif G to G antara Malaysia dengan Amerika Syarikat. Pusat Data di Johor itu akan menggunakan chip Nvidia H100 Tensor Core GPU yang turut digunakan oleh kebanyakan pusat data AI berteknologi terkini dan perisian Nvidia AI Enterprise bagi memacu produk buatan AI. CEO NVIDIA sendiri iaitu Jensen Huang telah bertemu dan membincangkan perkara ini bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimana pegawai-pegawai di Kementerian Komunikasi boleh terlepas pandang perkara ini dan membuat syor yang salah kepada YB Timbalan Menteri? Apakah mereka tidak faham tentang geo politik semasa antara NVIDIA dan Huawei?

Bagaimanapun, pengumuman oleh Teo Nie Ching, Timbalan Menteri Komunikasi itu tidak kekal lama, terdapat kenyataan rasmi bahawa Kerajaan Malaysia tidak membangunkan, menyelaras atau menyokong projek kecerdasan buatan yang melibatkan syarikat tempatan dan Huawei Technologies, menurut MITI dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Kenyataan itu susulan laporan media bahawa sebuah syarikat Malaysia, Skyvast Corporation, akan menggunakan cip Huawei untuk projek itu.

Menurut Reuters, MITI berkata ia mahu “menjelaskan bahawa inisiatif tersebut tidak dibangunkan, disahkan, atau diselaraskan oleh Kerajaan Malaysia, dan ia juga tidak menjadi sebahagian daripada mana-mana perjanjian Kerajaan-dengan-Kerajaan atau program teknologi yang diberi mandat secara nasional.”

Teo Nie Ching selaku Timbalan Menteri Komunikasi dan pegawai-pegawai yang menjaga polisi hubungan luar di Kementerian Komunikasi (Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa) perlu lebih berhati-hati dalam memilih program yang sewajarnya dirasmikan oleh YB Timbalan Menteri.

Selain KSU, TKSU pihak yang menyediakan dasar dan ucapan YB Timbalan adalah Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik dan Korporat serta Bahagian Dasar dan Antarabangsa. Dua SUB di atas ini perlu dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku hingga pentadbiran Donald Trump membuat reaksi balas terhadap apa YB Timbalan Menteri lontarkan dalam ucapan.

Ucapan yang perlu disampaikan juga perlu dibuat berdasarkan semua aspek perdagangan, geo politik dan hubungan antarabangsa. Apa yang berlaku adalah kesilapan besar pegawai-pegawai di Kementerian Komunikasi dalam memilih acara dan menyediakan ucapan yang sesuai untuk YB Timbalan Menteri.

Biarpun MITI telah menarik balik kenyataan Teo Nie Ching, di saluran rasmi Facebook Kementerian Komunikasi masih ada lagi poster berkaitan pengumuman Teo Nie Ching ini.

Pegawai-pegawai di Kementerian Komunikasi masih lagi belum sedar apa yang telah berlaku atau mereka masih tidak faham apa yang telah mereka berikan untuk Teo Nie Ching cakap.

Pejabat Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara perlu melihat balik perkara ini. Pegawai-pegawai yang tidak kompeten hingga memberi imej buruk Malaysia kepada White House ini perlu diambil tindakan agar tidak ditempatkan di tempat yang strategik sebegini.

Back To Top