Dengan 2,833 Cawangan, 99 Speed Mart Catat Pendapatan RM2.61 Billion

99 Speed Mart Retail Holdings Bhd (99 Holdings) memulakan tahun kewangan 2025 dengan prestasi kukuh apabila meraih pendapatan RM2.61 bilion pada suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Hasil pengendali rangkaian pasar mini tempatan terbesar di Malaysia itu meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun pada suku dikaji, sekali gus menyaksikan keuntungan sebelum cukai (PBT) juga menokok sebanyak 6.6 peratus kepada RM190.2 juta dan keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 7.5 peratus kepada RM143.2 juta.

Dalam tempoh sama, jumlah jualan meningkat 7.8 peratus kepada 119.6 juta transaksi, dengan saiz bakul purata kekal stabil pada RM21.80.

Prestasi cemerlang itu disokong oleh pertambahan bersih 246 cawangan baharu tahun ke tahun, menjadikan jumlah keseluruhan cawangan 99 Holdings kini sebanyak 2,833 cawangan.

Lembaga Pengarah turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 2.25 sen sesaham biasa, yang jumlah keseluruhan kira-kira RM189 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 29 Mei 2025, manakala pembayaran akan dibuat pada 9 Jun 2025.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif 99 Holdings, Lee Thiam Wah, berkata kumpoulan memulakan tahun kewangan dengan keputusan yang kukuh, mencerminkan perluasan berterusan kami dan peningkatan sambutan terhadap 99 Bulksales.

“Pada suku ini, kami mengumumkan dividen pertama sejak penyenaraian tahun lalu, satu cerminan asas kewangan kami yang kukuh.

“Dengan dasar dividen untuk mengagihkan kira-kira 50 peratus daripada keuntungan bersih, kami berhasrat untuk mengumumkan dividen dua kali setahun sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham sambil menyampaikan nilai jangka panjang yang mampan,” katanya.

Thiam Wah berkata, syarikat turut menyasarkan pembukaan pusat pengedaran baharu di Cyberjaya pada suku tahun akan datang sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan kumpulan.

“Ketika kami terus memperluaskan rangkaian cawangan dan meningkatkan aksesibiliti, komitmen kami kekal untuk menawarkan keperluan harian yang mampu milik dan mudah kepada komuniti di seluruh negara, selari dengan slogan NEAR n’ SAVE kami,” katanya.

Selain pertumbuhan perniagaan, 99 Holdings turut memperkukuh komitmen terhadap kelestarian apabila menjadi syarikat runcit pertama dalam pasaran yang mengintegrasikan trak elektrik ringan ke dalam armada logistiknya.

Kenderaan elektrik itu akan menggunakan tenaga daripada sistem solar fotovoltaik yang dipasang di pusat pengedaran syarikat, sekali gus menandakan langkah penting ke arah rangkaian pengedaran yang lebih mampan, cekap tenaga dan rendah karbon.

Back To Top