Panasonic Berhentikan 10,000 Pekerja

Panasonic Holdings Corp. bakal memberhentikan 10,000 pekerja atau hampir 5% daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja globalnya sebagai sebahagian langkah penstrukturan semula, susulan kerugian perniagaan dan caj penstrukturan bernilai 130 bilion yen (AS$895 juta).

Pengurangan itu melibatkan 5,000 pekerja di Jepun dan 5,000 di luar negara, dengan tawaran skim persaraan awal untuk sebahagian kakitangan.

Menurut Panasonic, pengurangan tenaga kerja itu akan tertumpu kepada jabatan jualan dan bahagian sokongan tidak langsung, selaras dengan penilaian semula keberkesanan operasi dan keperluan sumber manusia di setiap anak syarikat.

Syarikat yang berpangkalan di Osaka itu merupakan pembekal bateri utama kepada pengeluar kenderaan elektrik Amerika Syarikat (AS), Tesla, selain terlibat dalam sektor perumahan, tenaga dan automotif.

Dalam laporan kewangan tahun penuh yang dikeluarkan hari ini, Panasonic melaporkan penurunan 17.5 peratus keuntungan bersih kepada 366 bilion yen bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac lalu.

Presiden Panasonic, Yuki Kusumi, memohon maaf atas keputusan itu dan akan memulangkan 40% daripada gajinya, menyasarkan peningkatan produktiviti organisasi.

Syarikat mencatat penyusutan keuntungan bersih sebanyak 17.5% bagi tahun fiskal berakhir Mac lalu dan menjangkakan penyusutan tambahan 15.3% tahun ini. Panasonic menyasar pemulihan menjelang fiskal 2028 dengan sasaran keuntungan melebihi 300 bilion yen.

Back To Top