
Pendapatan sembilan bulan Berjaya Food Bhd bagi tahun kewangan 2025 merosot 39.8 peratus berbanding setahun sebelumnya kepada RM360.9 juta, manakala kerugian bersih teras meningkat 2.6 kali ganda kepada RM101.2 juta daripada hanya RM38.4 juta pada tempoh sama tahun kewangan terdahulu.
CIMB Securities dalam satu nota penyelidikan berkata, prestasi itu disebabkan oleh jualan yang lebih lemah, terutamanya daripada operasi Starbucks akibat daripada boikot pengguna yang berlarutan, perbelanjaan promosi yang tinggi, dan daya pengendalian operasi yang lebih rendah.
“Bagaimanapun, untuk suku keempat tahun kewangan 2025, kerugian dijangka mengecil berbanding suku sebelumnya selepas berakhirnya Ramadan pada bulan Mac.
“Selain itu, Berjaya Food telah menunjukkan tanda-tanda awal pemulihan di cawangan Starbucks di Malaysia, kerana kesan boikot berkaitan konflik Israel-Palestin nampaknya semakin berkurang.
“Usaha berterusan kumpulan untuk merasionalisasikan rangkaian kedai dengan menutup cawangan yang kurang berprestasi juga mungkin membantu mengurangkan kerugian,” katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Lim Yue Jia dan Walter Aw Lik Hsin.

Berjaya Food melaporkan kerugian bersih teras sebanyak RM36.7 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025, selepas membuat pelarasan bagi item-item sekali sahaja sebanyak RM500,000 (kerugian daripada penjualan dan penurunan nilai hartanah, kilang dan peralatan).
Ini membawa kepada kerugian bersih teras sembilan bulan tahun kewangan 2025 sebanyak RM116.5 juta,
yang gagal mencapai jangkaan iaitu 112 peratus daripada anggaran kerugian sebelumnya sebanyak RM104 juta dan 126 peratus daripada unjuran konsensus Bloomberg sebanyak RM92.1 juta.
CIMB Securities berkata, kelemahan pendapatan ini disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah daripada operasi kafe Starbucks dan restoran Kenny Rogers Roasters (KRR), serta kos permulaan yang lebih tinggi daripada yang dijangka untuk usaha pengembangan luar negara.
“Tiada dividen yang diumumkan untuk suku tersebut, seperti yang dijangka,” katanya.
Firma penyelidikan pasaran itu menambah, seiring dengan pendapatan yang lebih lemah sebanyak RM113.6 juta, kerugian bersih teras suku ketiga 2025 meningkat kepada RM36.7 juta.
Katanya, penurunan prestasi ini disebabkan terutamanya oleh jumlah kedai yang beroperasi yang berkurang, sumbangan yang lebih lemah daripada operasi KRR, dan kesan penuh daripada bulan Ramadan pada bulan Mac.
Di samping itu, menurut CIMB Securities, aktiviti boikot yang berkaitan dengan perang Israel-Palestin terus memberi kesan kepada prestasi.
“Akibatnya, margin perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) suku ketiga tahun kewangan 2025 merosot sebanyak 5.5 mata peratusan suku ke suku kepada 3.1 peratus, yang semakin terbeban oleh kos permulaan berkaitan dengan usaha pengembangan luar negara kumpulan,” katanya.
CIMB Securities berkata, memandangkan perolehan pada suku ketiga tahun kewangan 2025 tidak menepati jangkaan, pihaknya meningkatkan lagi unjuran kerugian Berjaya Food sebanyak 15 hingga 28 peratus.
“Kami mengekalkan saranan ‘jual’ terhadap saham ini dengan harga sasaran 28 sen,” katanya.