
Seorang individu bergelar Tan Sri yang ditahan awal pagi tadi, disyaki proksi sindiket penipuan pelaburan MBI Group International (MBI), direman lima hari bagi membantu siasatan.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 53 tahun itu dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas dia dibawa ke Lokap Berpusat Jinjang di sini, untuk siasatan lanjut.
Terdahulu, BH melaporkan suspek ditahan jam 2 pagi di tepi jalan sekitar Pulau Pinang, sebaik sahaja pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut sumber, suspek dipercayai berperanan sebagai proksi atau rakan kongsi yang menerima wang daripada dalang utama sindiket berkenaan bagi tujuan pengubahan wang haram hasil kegiatan pelaburan haram MBI.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan bahawa siasatan masih dijalankan.

Tangkapan terbaharu ini adalah susulan kepada Op Northern Star siri kedua yang dilancarkan pada 18 hingga 21 April lalu di sekitar Lembah Klang dan utara Semenanjung.
Menerusi operasi itu, lima individu ditahan termasuk seorang lagi bergelar Tan Sri serta seorang bergelar Datuk Seri, dipercayai terbabit dalam sindiket pelaburan ponzi di sebuah negara jiran.
Antara aset yang dibekukan dan disita hasil operasi ialah tiga dusun durian seluas 363 hektar di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM223.6 juta.

Selain itu, sejumlah 299 akaun bank bernilai lebih RM12.6 juta serta 12 kenderaan mewah turut disita, menjadikan nilai keseluruhan rampasan daripada dua siri operasi itu mencecah RM3.5 bilion.
Aset terbabit dipercayai hasil perolehan haram membabitkan skim pelaburan berasaskan skim ponzi yang disasarkan kepada mangsa tempatan dan luar negara menerusi tawaran pulangan tidak munasabah.
Sebelum ini dilaporkan seorang Tan Sri yang terkait dengan Gamuda dan Oriental Holding ditahan, difahamkan penahanan Tan Sri itu menjejaskan imej kedua-dua entiti perniagaan tersebut.