
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) memperluaskan Program Akar, inisiatif pembangunan bakat kebangsaan, dengan memperkenalkan fasa baharu yang menumpukan kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dan sains data.
Program berkenaan direka khas bagi memperkasakan industri perkhidmatan kewangan (FSI) negara dan pada masa sama memberikan pendedahan praktikal kepada pelajar universiti dalam teknologi pembayaran digital, AI serta bidang berkaitan industri, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan mereka untuk menyertai sektor berkenaan.
Pengarah PayNet Akar, Jun Maria Tan Abdullah, berkata fasa baharu itu dibina berdasarkan kurikulum teras yang memberi penekanan kepada pembentukan nilai dan kepimpinan, pengetahuan dalam sistem pembayaran digital serta penguasaan AI dan sains data.
“Program ini menghubungkan pelajar dengan pembelajaran secara praktikal, bimbingan berstruktur dan peluang penempatan pekerjaan bersama institusi kewangan terkemuka di Malaysia.

“Kohort pertama akan membabitkan 100 pelajar, dimulakan dengan 25 pelajar dari Universiti Multimedia Malaysia (MMU), sebelum diperluas kepada 75 pelajar lain dari universiti tempatan menjelang akhir tahun ini,” katanya pada pelancaran fasa kedua Program Akar, di sini, hari ini.
Beliau berkata, program berkenaan terbuka kepada pelajar dalam bidang teknologi maklumat (IT), kejuruteraan perisian serta teknologi berkaitan, dengan syarat mereka adalah warganegara Malaysia dan melepasi proses saringan awal.
“Proses tapisan akan menilai tahap penguasaan kemahiran teknikal serta kefahaman dalam bahasa Inggeris bagi memastikan peserta benar-benar mampu mengikuti kandungan program yang ditawarkan,” katanya.
Mengulas lanjut, Jun Maria berkata buat masa ini, penyertaan program dihadkan kepada 100 peserta namun jumlah itu dijangka akan ditambah dari semasa ke semasa, bergantung kepada keperluan dan kapasiti pelaksanaan.
Tempoh program ditetapkan antara enam hingga lapan minggu, bergantung kepada jadual yang dirancang dan pihaknya berusaha memastikan peserta dapat menyelesaikannya dalam tempoh ditetapkan bagi membolehkan mereka disalurkan kepada peluang latihan industri atau pekerjaan dalam bidang berkaitan.
Beliau berkata, Program Akar yang dilancarkan pada Julai 2024 adalah hasil kerjasama strategik dengan Amazon Web Services (AWS), yang ketika itu memberi tumpuan kepada pembayaran digital dan teknologi awan.
“Fasa kedua kali ini pula diperkuasakan oleh Microsoft Malaysia menerusi inisiatif pembangunan kemahiran ‘AI for Malaysia’s Future’ yang memperluas cakupan pembelajaran kepada AI dan sains data.
“Kerjasama ini menggambarkan komitmen PayNet dalam memainkan peranan utama dalam pembangunan bakat digital bagi memenuhi keperluan ekosistem kewangan Malaysia yang kian berkembang,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Lauren Si, berkata teknologi AI kini menjadi pemacu perubahan dalam semua sektor termasuk perkhidmatan kewangan.
“Kerjasama dengan PayNet melalui Program Akar ini membolehkan kami melahirkan generasi bakat yang dilengkapi kemahiran digital dan AI untuk bersaing dan berjaya, sejajar dengan inisiatif ‘AI for Future’ oleh Microsoft,” katanya.