Malaysia sekali lagi digemparkan dengan berita penangkapan Tan Sri Datuk Alex Ooi, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Ideal Property Group, susulan dakwaan penglibatannya dalam skim pelaburan haram MBI yang dikendalikan oleh Tedy Teow. Tan Sri Alex Ooi, digelar “King Condominium Pulau Pinang” kerana penguasaannya terhadap pembangunan lebih 25,000 unit kediaman dan komersial di Bayan Lepas, kini berdepan kontroversi yang boleh menjejaskan bukan sahaja reputasinya, malah rakan niaganya, Gamuda dan Oriental Holding Bhd (OHB).
Ini susulan pada 21 April lalu Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan Tan Sri Datuk Alex Ooi di kediamannya di George Town. Polis turut merampas sebuah kereta mewah Rolls-Royce Ghost berwarna putih dan sebuah Ford Ranger Raptor.
Tan Sri Datuk Alex Ooi individu yang sama pernah ditahan untuk soal siasat bulan lalu tetapi dibebaskan pada hari yang sama.
Sebelum ini pada 11 April Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan menumpaskan Skim Pelaburan MBI atau Ops Pelaburan Northern Star dengan pembekuan aset RM3,174,769,204.74 (RM3.17 bilion), melibatkan akaun bank dan saham ( RM1,16b), hartanah, kenderaan mewah, jam tangan mewah, barang kemas, telefon bimbit, beg tangan mewah dan beberapa penting dokumen lain.

PDRM setakat ini menahan 3 Tan Sri dan beberapa orang Datuk dalam syarikat senarai awam.
Antara tan sri yang ditahan ialah Tan Sri Datuk Seri Tan Kean Soon, Timbalan Pengerusi Eksekutif T7 Global Berhad dan Tan Sri Dato’ Dr Khor Eng Chuen, Pengerusi ECK Development Sdn. Bhd

Persoalan dana haram Tan Sri Datuk Alex Ooi Ideal Capital Berhad
Menjadi persoalan jika Tan Sri Datuk Alex Ooi terlibat apakah kekayaannya merupakan hasil wang scammer MBI milik Tedy Teow?
Sudah tentu syarikat Ideal Capital Berhad yang memiliki Ideal Property Development Sdn Bhd dipersoalkan. Ini termasuk pegangan dalam syarikat lain seperti SRS Consortium Sdn Bhd. Ideal Property Development Sdn Bhd memegang 20% saham dalam SRS Consortium Sdn Bhd.
SRS Consortium merupakan kontraktor utama projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line Pulau Pinang yang melibatkan laluan sepanjang 24km dari Komtar ke Pulau Silicon, dengan nilai kontrak melebihi RM8 bilion. Gamuda Berhad adalah peneraju utama SRS Consortium dengan 60% pegangan saham, manakala selebihnya dipegang oleh Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development.
Struktur Pemilikan SRS Consortium:
- Gamuda Berhad: 60%
- Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd: 20%
- Ideal Property Development Sdn Bhd: 20%

Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd merupakan syarikat dimiliki oleh keluarga Loh, khususnya Puan Loh Phoy Yen, anak kepada mendiang Tan Sri Loh Boon Siew, pengasas Oriental Holdings Berhad. Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd merupakan salah satu daripada beberapa entiti pelaburan swasta yang digunakan oleh keluarga Loh untuk memegang kepentingan dalam Oriental Holdings Berhad.
Penglibatan Tan Sri Alex Ooi dalam skandal MBI, yang kini diburu pihak berkuasa, meletakkan Gamuda dan Oriental Holdings dalam posisi yang amat sukar jika dana yang digunakan oleh Tan Sri Alex Ooi mempunyai kaitan dengan skandal MB.
Sudah pasti sebarang kaitan dengan MBI dalam aktiviti haram berpotensi mencalarkan integriti Gamuda yang selama ini dikenali dengan rekod korporat yang cemerlang. Lebih membimbangkan, Gamuda kini sedang melobi untuk terlibat dalam fasa seterusnya projek LRT Pulau Pinang. Apa-apa berita buruk berkaitan integriti rakan konsortium mereka pasti akan digunakan pesaing untuk menimbulkan persoalan tentang kebolehpercayaan dan kredibiliti Gamuda di mata kerajaan dan pelabur.
Kesan langsung dari krisis ini dijangka akan menekan harga saham Gamuda Berhad dan Oriental Holdings jika pelabur dan rakyat menjadikan kes MBI serius. Pelabur pasaran modal amat sensitif terhadap sebarang berita negatif membabitkan isu tadbir urus korporat dan integriti, apatah lagi apabila ia melibatkan skandal berskala antarabangsa seperti skim MBI yang dilaporkan melibatkan pengubahan wang haram bernilai berbilion ringgit.
Gamuda dijangka perlu bertindak pantas untuk memisahkan dirinya secara tegas daripada sebarang persepsi negatif akibat hubungannya dengan Ideal Property Group dan Tan Sri Alex Ooi. Sama ada melalui penstrukturan semula SRS Consortium, penjelasan awam, atau langkah pembersihan dalaman, Gamuda perlu mengutamakan langkah pemulihan reputasi untuk memastikan kelangsungan peluang dalam projek mega infrastruktur negara.
Dalam dunia korporat, integriti bukan sekadar slogan — ia adalah mata wang kepercayaan yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah syarikat. Kini, Gamuda Berhad berada di persimpangan kritikal dalam mempertahankan namanya daripada tercemar akibat kesilapan rakan niaganya.