Syarikat automotif gergasi Jepun yang sedang bergelut, Nissan meramalkan kerugian besar sehingga AS$5.3 bilion (RM23.5 bilion) bagi tahun kewangan 2024-25.
Nissan, salah satu daripada 10 pengeluar kereta terbesar berdasarkan unit jualan, kini berdepan masalah kewangan serius dengan beban hutang yang tinggi, pembuangan pekerja serta cabaran yang dihadapi oleh syarikat-syarikat automotif lain akibat tarif kenderaan yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

“Sebagai sebahagian daripada semakan semula tinjauan, Nissan menjangkakan untuk melaporkan kerugian bersih sebanyak 700 hingga 750 bilion yen (AS$4.9 bilion hingga AS$5.3 bilion) bagi tahun kewangan 2024,” kata kenyataan syarikat hari ini.
“Semakan ini adalah akibat kos yang berkaitan dengan pelan pemulihan yang sedang berjalan dan faktor-faktor lain,” tambah kenyataan itu, beberapa minggu sebelum pengumuman pendapatan tahunan penuh yang dijadualkan pada 13 Mei.
Pada Februari lalu, syarikat itu meramalkan kerugian bersih yang lebih kecil sebanyak 80 bilion yen (AS$560 juta) bagi tahun kewangan 2024-25 yang berakhir pada 31 Mac.

Sebelum itu, Nissan mengumumkan pemotongan 9,000 pekerjaan di seluruh dunia dan mengurangkan kapasiti pengeluaran sebanyak 20 peratus.
Pada Mac, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat itu meletakkan jawatan dan pelabur mula menjauhi saham Nissan, menyebabkan nilai sahamnya jatuh lebih daripada 40 peratus sepanjang tahun lalu.
Sejak April, AS telah mengenakan surcaj 25 peratus terhadap semua kenderaan yang diimport.
“Kami mengambil langkah berhati-hati untuk mengkaji semula tinjauan tahun kewangan penuh kami, selaras dengan penilaian menyeluruh terhadap prestasi dan nilai aset pengeluaran,” kata CEO baharu Nissan, Ivan Espinosa, dalam satu kenyataan hari ini.
Nissan telah menghadapi krisis demi krisis dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk penahanan bekas ketuanya, Carlos Ghosn; pandemik; dan perang di Ukraine.

Kemudian, pada awal tahun ini, perbincangan penggabungan dengan pesaingnya, Honda, terhenti, dan agensi penarafan Moody’s serta yang lain menurunkan penarafan kredit Nissan ke tahap buruk.
“Kami kini menjangkakan kerugian bersih yang besar bagi tahun ini, disebabkan terutamanya oleh kemerosotan besar nilai aset dan kos penyusunan semula ketika kami terus berusaha untuk menstabilkan syarikat,” kata Espinosa.
“Walaupun menghadapi cabaran ini, kami memiliki sumber kewangan yang kukuh, saluran produk yang mantap, dan tekad untuk memulihkan Nissan dalam tempoh yang akan datang,” tambah beliau.
-AFP