
TMD Energy Limited, penyedia perkhidmatan bunkering marin bersepadu yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura mula diniagakan di NYSE American dengan simbol dagangan ‘TMDE’.
Ini menjadikan syarikat yang menjadi sebahagian daripada Straits Energy Resources Bhd itu pembekal bunker marin Malaysia pertama disenaraikan di bursa utama Amerika Syarikat (AS).
Harga saham TMD Energy dibuka pada AS$3.26 semalam, meningkat kepada AS$4.12 sebelum ditutup pada AS$3.63, 11.69 peratus lebih tinggi daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) AS$3.25.
Ini memberikan TMD Energy nilai pasaran AS$83.85 juta (RM367.2 juta) pada hari pertamanya sebagai syarikat tersenarai awam.
Hasil IPO itu akan digunakan untuk pembelian minyak kargo, menampung kos penyenaraian dan modal kerja serta tujuan korporat am lain.
Syarikat turut memberi pilihan kepada penaja jaminan untuk membeli sehingga sejumlah 465,000 saham tambahan dalam tempoh 45 hari bagi menampung lebihan langganan pada harga IPO.
Jika pilihan ini digunakan sepenuhnya, hasil kasar keseluruhan sebelum penolakan diskaun dan perbelanjaan berkaitan dijangka berjumlah kira-kira AS$11.59 juta.

Pengerusi, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TMD Energy, Datuk Seri Ron Ho Kam Choy, berkata penyenaraian di NYSE American akan membantu mempertingkatkan profil antarabangsa syarikat, meluaskan jangkauan pasaran, meneroka pasaran baharu, serta menjana pulangan yang mampan dan lebih tinggi kepada pemegang saham.
“Kami berbangga menjadi pembekal bunker marin Malaysia yang pertama disenaraikan di bursa utama AS, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai antara peneraju dalam industri ini.
“Dengan memanfaatkan lokasi strategik Malaysia yang terletak di sepanjang laluan perkapalan utama termasuk Selat Melaka dan Laut China Selatan, serta permintaan bahan api bunker yang kekal kukuh di rantau ini dan peringkat global, kami berada dalam kedudukan yang kukuh untuk terus berkembang.
“Lebih membanggakan, TMD Energy juga merupakan syarikat Malaysia pertama yang tersenarai di NYSE American,” katanya.
TMD Energy dan anak syarikatnya terbabit dalam perkhidmatan bunkering bahan api marin, khusus dalam pembekalan dan pemasaran minyak gas marin dan minyak bahan api marin kepada pelbagai jenis kapal di laut.
Selain itu, syarikat turut menyediakan perkhidmatan penyewaan kapal dan pengurusan kapal.
Kumpulan beroperasi di 19 pelabuhan di seluruh Malaysia dengan armada 15 kapal bunkering yang disenggara dengan baik, berkapasiti antara 540 hingga 7,820 tan berat mati (dwt), termasuk sembilan kapal dwi-dasar dan dwi-lambung dengan purata kapasiti muatan 4,200 dwt setiap satu.
Pelanggannya merangkumi pemilik dan pengendali kapal, syarikat perkapalan, syarikat logistik dan penghantaran, serta peniaga atau broker minyak dan gas.
Pada 2023, Tumpuan Development Sdn Bhd, anak syarikat milik tidak langsung TMD Energy, menjadi pemain industri Malaysia pertama yang diiktiraf sebagai pembekal dan peniaga biofuel di bawah skim Pensijilan Kemampanan dan Karbon Antarabangsa (ISCC EU), membuktikan komitmennya terhadap pengurangan jejak karbon industri perkapalan dan memimpin inisiatif kemampanan di rantau ini.
Strategi pertumbuhan TMD Energy termasuk memperluaskan kehadiran pasaran di Asia Tenggara, menambah bilangan kapal bunkering, menawarkan perkhidmatan pengurusan kapal kepada pelanggan luar serta mempelbagaikan penawaran bahan api termasuk bahan api alternatif mesra alam seperti biodiesel.
TMD Energy adalah sebahagian daripada Straits, syarikat Fortune Southeast Asia 500 yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd.
Selain perdagangan minyak dan bunkering, Straits juga terbabit dalam pelbagai perniagaan lain termasuk operasi kapal ke kapal (STS), perkhidmatan pengurusan kapal, agensi perkapalan, perkhidmatan telekomunikasi dan rangkaian, serta pengangkutan dan logistik darat.