Isu Keselamatan : Sultan Kelantan Titah Cadangan Bina Tembok di Sungai Golok dimuktamad segera

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu cadangan pembinaan tembok dan zon penampan di kawasan Sungai Golok perlu dimuktamadkan dengan segera.

Baginda bertitah isu keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand perlu dipandang serius dan menyeru kerajaan negeri supaya memberi keutamaan kepada pembinaan Empangan Lebir yang menjadi keperluan mendesak bagi mengatasi isu banjir di negeri itu.
 
“Beta menggesa projek lembangan sungai bersepadu Sungai Kelantan dan Sungai Golok dapat disegerakan bagi semua fasa untuk mengatasi isu banjir di negeri ini keutamaan harus diberikan kepada pembinaan Empangan Lebir,” titah Baginda.
 
Sultan Muhammad V bertitah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan ke-15 di Kompleks Kota Darul Naim, di sini.
 
Keberangkatan tiba Baginda Sultan Muhammad V sekitar pukul 11.40 pagi diiringi Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah. Hadir sama ialah Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, Timbalannya Mohamed Fadzli Hassan dan barisan pemimpin negeri serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
 
Turut berkenan mencemar duli ke istiadat tersebut ialah Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah.
 
Sementara itu, baginda turut dimaklumkan kerajaan negeri telah menyediakan senarai permohonan bagi Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
 
Justeru baginda berharap fokus dan hala tuju yang dirancang adalah ke arah pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan memacu pembangunan ekonomi serta meningkatkan daya saing negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.
 
“Antara fokus utama yang perlu diberi tumpuan adalah pembangunan sektor pembuatan bagi menarik pelaburan ke Kelantan, peningkatan infrastruktur bekalan air bersih dan jaringan jalan raya, penumpuan kepada sektor pertanian dan pembangunan pelancongan,” titah Baginda.

 Dalam perkembangan lain, Sultan Muhammad V turut berharap kerajaan negeri memberi perhatian kepada pembangunan bandar baharu di setiap jajahan sebagai pemangkin sektor perindustrian dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.
 
Titah baginda, bandar baharu itu perlu diterapkan dengan konsep bandar pintar agar Kelantan tidak ketinggalan dalam arus kemajuan global.
 
“Beta melihat bahawa negeri ini masih mempunyai daya tarikan pelaburan yang rendah, terutamanya pelaburan asing, berbanding negeri-negeri di pantai barat yang mempunyai jaringan pelabuhan serta kemudahan perdagangan yang lebih komprehensif sehubungan dengan itu, pembangunan infrastruktur yang berkaitan perlu dipercepatkan selain menyediakan insentif pengecualian cukai yang kompetitif,” titah Baginda.

Back To Top