
MY E.G. Services Bhd (MYEG) menjalin kerjasama dengan Guangxi Beitou IT Innovation Technology Investment Group Co., Ltd (Beitou IT Innovation) menubuhkan makmal kecerdasan buatan (AI).
MYEG berkata, kedua-dua pihak secara bersama akan membina pusat inovasi dan kerjasama AI Malaysia-China yang akan dikenali sebagai Makmal AI China-ASEAN Flagship.
“Ia juga merealisasikan visi kerajaan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam AI,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Majlis pertukaran perjanjian antara MYEG dan Beitou IT Innovation disaksikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Gabenor Kerajaan Guangxi, Lan Tianli.
Seiring dengan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara China dan Malaysia mengenai pembangunan AI, MYEG dan Beitou IT Innovation, sebuah syarikat milik penuh kerajaan Wilayah Guangxi, dipilih untuk bersama-sama menubuhkan sebuah makmal kerajaan ke kerajaan (G2G) yang unik, mengumpulkan syarikat AI terkemuka dari China dan ASEAN untuk bersama-sama membangunkan produk AI tempatan dan menggerakkan aplikasi merentas sempadan.

Di bawah kendalian MYEG, Makmal AI ini juga akan membabitkan penyertaan peneraju dalam bidang masing-masing seperti Deepseek dari China; syarikat robotik dan dron, DJI dan Leju Robot; Huawei Technologies; Alibaba Group; serta penyedia perkhidmatan IT Malaysia, Heitech Padu Bhd.
Makmal AI itu akan memberi tumpuan kepada pertembungan teknologi ‘blockchain’, AI generatif dan robotik dengan penekanan kepada aplikasi merentas sempadan serta penyesuaian perkhidmatan AI mengikut budaya dan nilai tempatan.
Perkhidmatan pertama yang akan diperkenalkan adalah pengiktirafan bersama untuk ID Digital dari Malaysia dan China bermula dengan Wilayah Guangxi.
Perkhidmatan ini membolehkan warganegara Malaysia menggunakan MyDigital ID untuk pelbagai keperluan pengesahan identiti di Wilayah Guangxi, terutamanya untuk keperluan KYC (Kenali Pelanggan Anda) di institusi kewangan dan pelbagai tempat tarikan pelancong.
Pada masa yang sama, ID digital warganegara China akan diterima untuk pengesahan identiti di Malaysia.
Pengerusi Beitou IT Innovation Group, Lai Shuiping, berkata sebagai kumpulan teknologi digital terkemuka di Guangxi, pihaknya berbangga dapat menghubungkan sumber AI China seperti LLM sumber terbuka, aplikasi AI dan bakat AI, dengan kes penggunaan AI di sektor awam dan swasta, industri serta akademik di Malaysia dan ASEAN.
“Melalui kerjasama rapat dengan rakan dagang di China dan Malaysia, kami yakin dapat meningkatkan produktiviti keseluruhan Malaysia dan ASEAN dengan memanfaatkan kuasa AI,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MYEG, TS Wong, berkata pihaknya berasa bangga dipilih oleh kedua-dua negara untuk meneraju inisiatif penting itu.
“Gabungan teknologi ‘blockchain’, robotik, dan AI akan mencipta gelombang perkhidmatan baharu dan kami berada dalam kedudukan terbaik untuk menawarkan produk canggih generasi seterusnya. Kami berharap dapat mengembangkan kerjasama ini ke negara-negara ASEAN lain,” katanya.