
Malaysia mempunyai peluang besar dalam rundingan yang lebih menguntungkan berhubung tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS), kata pakar kewangan dan perbankan, Tan Sri Andrew Sheng.
Beliau berkata, negara ini berada dalam kedudukan yang baik untuk menyesuaikan diri dan terus maju berikutan kesalinghubungan serantau yang kukuh dan amalan perdagangan terbuka.
Bekas pegawai bank pusat dan pengawal selia kewangan Asia itu menekankan bahawa dasar perdagangan terbuka Malaysia terus menjadi kekuatan utama negara ini.
Pengerusi George Town Institute of Open and Advanced Studies itu juga berkata, tarif timbal balas yang dikenakan ke atas Malaysia adalah 24 peratus, sementara negara-negara ASEAN lain dikenakan kadar tarif yang lebih tinggi.
“Jangan panik, sebaliknya kita harus memberi tumpuan kepada kelebihan strategik Malaysia di rantau ini. Dunia sedang berubah, peluang akan tiba. Apa yang penting sekarang adalah kita bekerja lebih keras untuk merebut peluang itu,” katanya ketika ditemui di Persidangan Pelaburan ASEAN 2025 (AIC25) anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas situasi Malaysia dalam menangani impak tarif timbal balas AS yang menimbulkan ketidaktentuan global.

Persidangan itu diadakan sebagai acara sampingan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 7 hingga 10 April 2025.
Mengulas lanjut, Sheng berkata isu tarif adalah kontroversi, bukan hanya di luar AS, tetapi juga di dalam AS itu sendiri, memandangkan kesannya yang besar.
“Perlu difahami bahawa perang perdagangan tidak menguntungkan sesiapa dan tiada siapa yang akan menang. Pada ketika ini, masih terlalu awal untuk menyatakan siapa yang akan rugi besar dan siapa yang akan menjadi pemenang besar,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa pasaran saham global telah jatuh dan mencatatkan kerugian kira-kira AS$9 trilion dalam pasaran saham saja. “Ramai yang rugi, bukan hanya rakyat Malaysia, tetapi juga rakyat AS turut rugi,” tambah beliau.
Sheng meramalkan bahawa pasaran akan menjadi sangat tidak menentu dalam jangka pendek, dan menegaskan bahawa kesabaran adalah kunci.
Mengulas sama ada impak yang dicetuskan oleh perang tarif AS-China bersifat sementara, Sheng berpendapat bahawa isu ini bukanlah sesuatu yang bersifat sementara.
“Isu ini telah berlarutan sejak pentadbiran penggal pertama Donald Trump sebagai Presiden AS. Kini Trump dalam penggal kedua, jadi ini bukan jangka pendek. Saya tidak fikir masalah ini akan selesai,” katanya.