
KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd berpotensi mencatatkan jumlah tempahan kontrak mengatasi sasaran bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 sebanyak RM59 bilion, berbanding sasarannya RM40 bilion hingga RM45 bilion, demikian menurut penganalisis.
CGS International dalam satu nota penyelidikan berkata, konglomerat itu menyatakan ia mempunyai kontrak berpotensi yang lebih terjamin sebanyak RM35 bilion menjelang akhir tahun kewangan semasa.
Katanya, menurut Gamuda, projek itu merangkumi loji rawatan air di Sabah (RM4 bilion), kerja tambahan untuk LRT Pulau Pinang (RM3 bilion), MRT Taiwan (RM3 bilion), kerja persiapan pusat data dan loji rawatan air di Negeri Sembilan (RM1 bilion), projek infrastruktur pusat data tempatan (RM6 bilion), kerja-kerja sistem Suburban Rail Loop di Australia (RM10 bilion), projek pembinaan stesen di Sydney dan Melbourne (RM6 bilion) serta pembabitan awal kontraktor (ECI) untuk tenaga boleh baharu di Australia (RM2 bilion).
“Jika semua projek ini membuahkan hasil dan mengandaikan ‘burn rate’ (perbenjaan rizab tunai) sebanyak RM1 bilion sebulan, Gamuda mungkin berakhir dengan buku pesanan RM59 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2025,” katanya.

CGS International berkata, Gamuda percaya bahawa ia telah mencapai sasaran konservatif untuk pusat data dengan mengambil kira hanya tiga daripada tujuh projek yang berpotensi dalam tahun kewangan 2025.
Katanya, bagi projek pusat data, Gamuda juga berpandangan bahawa rakan kongsi utamanya sedang mencari cara untuk mempercepatkan lebih banyak projek dan membawa tempoh masa ke hadapan untuk beberapa projek.
“Ia juga membentangkan projek berjumlah RM15 bilion yang dianggap lebih rendah peratusan untuk menang dalam tahun kewangan 2025.
“Beberapa projek ini adalah infrastruktur air mentah di Perak (RM4 bilion), kerja-kerja sistem LRT Pulau Pinang (RM3 bilion), jalan Sarawak (RM1 bilion) dan projek hidro pam Australia (RM4 bilion),” katanya.
Sementara itu, CGS International berkata, keputusan kewangan Gamuda bagi suku kedua berakhir 31 Januari 2025 menepati jangkaan pihaknya dan menjangkakan separuh kedua yang lebih kukuh.
Katanya, keuntungan bersih teras suku kedua sebanyak RM218 juta membawa keuntungan bersih teras separuh pertama tahun kewangan 2025 kepada RM417 juta.
“Kami menganggap keputusan itu selaras dengan kami kerana CGS International menjangkakan suku berikutnya menjadi lebih kukuh apabila margin lebih tinggi bagi projek pembinaan tempatan mula menyumbang dengan lebih bermakna,” katanya.
Gamuda mencatat nilai perolehan kontrak pembinaan tertinggi mencecah RM36 bilion bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 31 Januari 2025, sekali gus merekodkan pencapaian tertinggi untuk tahun keempat berturut-turut.
Bagi tempoh sama, perolehan hasil pembinaan meningkat 19 peratus kepada RM4 bilion, manakala pendapatan naik lima peratus kepada RM219 juta, didorong oleh sumbangan kukuh daripada bahagian pembinaan domestik.