Nombor Plat Paling Mahal Di UK Milik Kedutaan Malaysia

Seorang lelaki dari United Kingdom mendedahkan mengenai salah satu nombor pendaftaran yang termahal di negara itu iaitu ‘1M’ yang dimiliki oleh kedutaan Malaysia.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya @numberplatehistory, nombor pendaftaran yang digunakan pada kenderaan rasmi kedutaan Malaysia ini tidak boleh dijual beli.

“Nombor plat ini dalam format tanpa tarikh telah dikeluarkan khas untuk kedutaan Malaysia. Memandangkan ia adalah plat kedutaan, ia tidak boleh dipindahkan ke kenderaan lain di luar pemilikan mereka,” katanya.

Menurutnya, meskipun sukar untuk menentukan bilakah nombor pendaftaran ini dikeluarkan, namun dokumen hasil penyelidikan Noel Woodall menunjukkan ia sudah digunakan sejak tahun 1974. Jika pada tahun 1974, pada ketika itu Perdana Menteri Malaysia adalah Tun Haji Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Tahun yang sama juga, 1974 adalah lawatan pertama Ketua Negara Malaysia ke UK oleh YDP Agong Sultan Abdul Halim pada Julai 1974. Boleh jadi number “1M” tersebut adalah tanda ingatan dari UK kepada kerajaan Malaysia pada waktu itu.

Kata lelaki itu, jika nombor pendaftaran ini boleh dijual pada waktu ini, harganya mungkin melebihi tujuh angka menjadikannya plat bernilai £1 juta (kira-kira RM5,729,490).

“Nilainya terletak pada huruf awal, nombor dan panjang karakter,” jelas lelaki itu lagi.

Back To Top