Sapura Enery Akan Pulih Semula Selepas Pengstrukturan Semula Hutang

KUALA LUMPUR: Sapura Energy Bhd berpotensi pulih secara mampan disokong penjimatan kos susulan pelan penstrukturan semula hutang dan tempahan kontrak yang berterusan.

Penganalisis BIMB Securities Research, Azim Faris Ab Rahim, berkata pelan semula hutang syarikat minyak dan gas itu penting untuk memastikannya mempunyai struktur modal yang lebih mampan.

Menurutnya, Sapura Energy sebelum ini mempunyai jumlah pinjaman melebihi RM10 bilion dengan kos kewangan tahunan RM800 juta setahun, malah kerugian yang dialaminya pada tahun kewangan 2021 dan tahun kewangan 2023 hingga 2024 disumbangkan terutamanya oleh faktor berkenaan

Justeru, katanya, menjadi hasrat pihak pengurusan untuk mengurangkan pinjaman supaya ia dapat mengurangkan kos kewangan dan kembali untung.

“Kami optimis dengan pelan pemulihan Sapura Energy kerana ia baru-baru ini mendapat kelulusan daripada skim pemiutangnya untuk pelan penstrukturan semula hutang yang dicadangkan.

“Selain itu, ia juga telah memperoleh suntikan modal bernilai RM1.1 bilion daripada kerajaan untuk membayar balik semua jumlah tertunggak kepada lebih 2,000 vendor dalam ekosistem minyak dan gas Malaysia.

“Pelan penstrukturan semula hutang kini dijangka berkuat kuasa paling awal pada Ogos 2025. Dengan ini, kita melihat ‘sinar di hujung terowong’, dibantu oleh kitaran meningkat dalam perbelanjaan modal luar pesisir,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Azim Faris berkata, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Muhammad Zamri Jusoh, dalam satu temubual baru-baru ini menjangkakan jumlah pinjaman syarikat akan dikurangkan sebanyak 50 peratus kepada RM5.2 bilion selepas penstrukturan semula hutang.

Selain itu, beliau berkata, kadar faedah juga akan ditetapkan semula lebih rendah kepada 4.5 peratus berbanding tujuh hingga lapan peratus ketika ini.

Secara efektif, jelasnya, ia akan mengurangkan kos kewangan tahunan kepada RM250 juta setahun yang diterjemahkan kepada penjimatan tahunan sebanyak RM450 juta bermula tahun kewangan 2027.

“Sehubungan itu, kami menganggarkan syarikat akan mencapai keuntungan teras sebanyak RM134 juta pada tahun kewangan 2027, berbanding kerugian teras sebanyak RM306 juta.

“Dalam jangka terdekat, akan terdapat pengiktirafan item bukan teras apabila syarikat itu maju dengan pelan penstrukturan semula hutangnya,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2025, Azim Faris berkata, pihaknya menjangkakan Sapura Energy mencatatkan keuntungan sebanyak RM1 bilion, dipacu oleh keuntungan daripada pelupusan SapuraOMV yang dianggarkan berjumlah RM800 juta pada suku keempat tahun kewangan 2025.

Seterusnya, beliau berkata, syarikat minyak dan gas itu akan mencapai keuntungan keseluruhan sebanyak RM1.7 bilion pada tahun kewangan 2026 terutamanya disebabkan oleh pembalikan faedah terakru serta penepian prinsipal hutang yang dianggarkan berjumlah RM2 bilion.

Katanya, terdapat juga risiko peningkatan lebih lanjut kepada pendapatan daripada pemulihan kos yang berjaya daripada peruntukan kos muatan hadapan yang diiktiraf lebih awal.

Mengulas lanjut, Azim Faris berkata, perbelanjaan berterusan oleh syarikat minyak dan gas meningkatkan permintaan untuk segmen penggerudian dan operasi dan penyelenggaraan (O&M), dijangka membantu menambah semula buku pesanan Sapura Energy kepada kira-kira RM6 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2025.

Beliau berkata, buku pesanan tertunggak yang dipegang oleh JV Brazil juga kekal memberangsangkan pada RM6 bilion, memberikan pendapatan berulang kepada kumpulan.

Katanya, kadar penggunaan dalam segmen penggerudian mencapai tahap yang memberangsangkan, dengan purata 80 peratus sejak suku ketiga 2023.

“Baru-baru ini, syarikat berjaya mendapatkan beberapa kontrak penggerudian untuk lima pelantar berjumlah RM3.2 bilion dan meningkatkan jumlah buku pesanan Sapura kepada lebih RM8 bilion. Ini akan meningkatkan tiga kali ganda buku pesanan penggerudiannya kepada RM4.5 bilion.

“Ia juga memperoleh dua kontrak jangka panjang yang merangkumi 5+3 tahun untuk pelantar T-17 dan T-18 bersama PTTEP,” katanya.

Back To Top