
KUALA LUMPUR: Pengendali pusat data dari China, GDS Holdings Ltd, sedang mendapatkan pinjaman berjumlah AS$3.4 bilion (RM15.12 bilion) bagi membiayai operasi pusat datanya di Malaysia, demikian mengikut Bloomberg News.
Agensi berita kewangan itu yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu melaporkan, ia adalah pembiayaan terbesar yang pernah dimohon syarikat itu dan antara yang terbesar dalam sektor pusat data di Asia.
Katanya, GDS Holdings mungkin cuba menyenaraikan cabang antarabangsa mereka, DayOne, seawal tahun ini. Unit itu kini mengendalikan pusat data di beberapa negara termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Hong Kong dan Jepun.
Sumber itu juga memaklumkan bahawa DayOne, sebelum ini dikenali sebagai GDS International, sedang berusaha mendapatkan kemudahan pembiayaan selama lima tahun yang merangkumi dua komponen, iaitu bahagian pertama AS$1.7 bilion dan bahagian keduka RM7.5 bilion. Pinjaman ini kini dalam proses sindikasi kepada pasaran yang lebih luas.

Tujuh institusi kewangan telah dilantik sebagai penyelaras utama dan penaja jamin bagi pinjaman ini, termasuk DBS Group Holdings Ltd, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Standard Chartered plc. DayOne tidak memberikan sebarang komen apabila dihubungi mengenai perkara itu.
Sumber turut menyatakan bahawa hasil daripada pinjaman ini akan digunakan untuk tujuan pembiayaan semula serta perbelanjaan modal bagi pengembangan operasinya di Malaysia.
Malaysia semakin menjadi destinasi utama bagi memenuhi permintaan pesat terhadap pusat data di Asia, terutamanya bagi menyokong perkembangan kecerdasan buatan (AI).
Bloomberg melaporkan bahawa Johor – negeri yang bersempadan dengan Singapura – kini mempunyai kira-kira 30 projek pusat data yang telah siap atau sedang dalam pembinaan, selain 20 lagi dalam peringkat kelulusan. Antara syarikat yang telah melabur termasuk Microsoft Corp dan ByteDance Ltd.
DayOne memulakan operasi di Johor pada 2021 dan melancarkan fasiliti pertamanya di negeri itu pada 2023. Pada Disember 2023, entiti tersebut turut memperoleh kemudahan pinjaman hijau bersindiket bernilai RM1.27 bilion untuk pengembangan kampus pusat datanya di Johor.