Bank Bank Di Malaysia Memperoleh Penarafan ESG Melebihi Piawaian Antarabangsa

KUALA LUMPUR: Majoriti bank Malaysia memperoleh penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) yang melebihi penanda aras purata, setanding dengan piawaian antarabangsa serta menyaingi bank-bank Singapura, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, CIMB Securities menyatakan beberapa bank tempatan diiktiraf sebagai peneraju ESG di bawah penarafan Morgan Stanley Capital International (MSCI).

“Kebanyakan bank Malaysia, termasuk AMMB, CIMB, Maybank dan RHB, menerima penarafan AA yang setara dengan bank Singapura seperti DBS, OCBC dan UOB.

“Hong Leong dan RHB pula memperoleh penarafan A, yang berada dalam kategori purata MSCI, manakala Affin Bank dan Alliance Bank masih belum menerima penarafan MSCI,” katanya.

Bank peneraju ESG berpotensi rai penilaian premium

CIMB Securities menambah, walaupun penarafan ESG belum menjadi komponen utama dalam penilaian, bank yang mempunyai penarafan tinggi berpotensi menarik penilaian premium dalam jangka panjang.

“Penarafan ESG yang lebih baik mencerminkan risiko gangguan perniagaan, keputusan tidak menguntungkan dan risiko operasi yang lebih rendah, sekali gus berpotensi mengurangkan kos ekuiti.

“Kami mengekalkan saranan ‘overweight’ untuk sektor ini, dengan Hong Leong, AMMB dan RHB terus menjadi pilihan utama,” katanya.

Sektor perbankan kekal stabil di sebalik cabaran geopolitik

Sementara itu, RHB Investment Bank Bhd menjangkakan prestasi sektor perbankan bagi tahun kewangan 2025 kekal stabil, dengan bank terus berwaspada terhadap perkembangan geopolitik.

“Di dalam negara, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang berdaya tahan serta pelaksanaan berterusan pelbagai rancangan pembangunan dijangka menyokong pertumbuhan pinjaman.

“Namun, pertumbuhan deposit masih ketinggalan berbanding pinjaman, dan kami akan memantau sama ada persaingan bagi menarik deposit semakin meningkat bagi menyokong keperluan pembiayaan bank,” katanya.

Selain itu, bank dengan operasi di luar negara turut berhati-hati terhadap pemotongan kadar faedah dan keadaan mudah tunai yang berpotensi memberi tekanan kepada margin faedah bersih.

“Mengenai kualiti aset, bank terus memantau sebarang kelemahan, walaupun setakat ini ia dilihat terhad kepada segmen dan portfolio tertentu,” katanya, sambil mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan tempatan. – Bernama

Back To Top