SC bertegas Konsortium Gateway Development Alliance patuhi kod dan peraturan ditetapkan pengambilalihan MAHB

Sebagai pengawal selia pasaran modal negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) diamanahkan untuk memastikan semua urus niaga dalam bidang kuasa mereka mematuhi peraturan dan peraturan berkaitan. 

Ia merangkumi Kod Pengambilalihan dan Penggabungan Malaysia (Kod) dan Peraturan mengenai Pengambilalihan, Penggabungan dan Pengambilalihan Wajib (Peraturan).

“Dalam mana-mana tawaran pengambilalihan, SC memberi fokus dalam memastikan pematuhan dengan keperluan Kod dan Peraturan, terutamanya berkaitan dengan pendedahan maklumat yang tepat pada masanya dan mencukupi kepada para pemegang saham.

“Ini adalah untuk memastikan pemegang saham mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat keputusan termaklum mengenai tawaran pengambilalihan.

“Memandangkan minat baru-baru ini dalam perkara ini, SC ingin meyakinkan pihak berkepentingan bahawa kami memantau keadaan dengan teliti untuk memastikan pematuhan kepada Kod dan Peraturan, dan untuk menjaga integriti pasaran modal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, terdapat pihak mempersoalkan tindakan Konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) mengubah syarat penerimaan tawaran pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) daripada 90% kepada 85% serta lanjutan tarikh tutup tawaran. 

Perkara itu didakwa menimbulkan persoalan berkaitan integriti pasaran dan perlindungan terhadap pemegang saham minoriti.

Sebelum ini tarikh tutup bagi penerimaan tawaran oleh GDA untuk saham belum dimiliki dalam MAHB telah dilanjutkan daripada 24 Januari kepada 4 Februari 2025.

Ia adalah lanjutan kali ketiga selepas konsortium gagal memenuhi syarat asal sebanyak 90%.

Khazanah Nasional Berhad bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan GIP Aurea Pte Ltd, membentuk satu konsortium dikenali GDA dan membuat tawaran untuk membawa MAHB ke dalam pemilikan persendirian pada harga RM11 sesaham.

Konsortium itu menyasarkan untuk meletakkan MAHB untuk pertumbuhan mampan jangka panjang, menumpukan pada penyelenggaraan dan peningkatan infrastruktur lapangan terbang, perkhidmatan penumpang, dan ketersambungan syarikat penerbangan, untuk menyokong pertumbuhan trafik.

Kerajaan akan mengekalkan hak istimewanya dalam MAHB, yang akan terus dikawal oleh pelbagai agensi kerajaan, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, dan Polis Diraja Malaysia.

Back To Top