Gamuda Akan Bida Keseluruhan Projek LRT Pulau Pinang Bernilai RM13 Billion

KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd tidak menolak kemungkinan untuk membuat bidaan bagi tender segmen dua dan tiga Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang, memandangkan ia mempunyai rekod prestasi baik melalui penglibatannya untuk projek Transit Aliran Massa 1 (MRT1) dan MRT2.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, berkata projek LRT Pulau Pinang dianggarkan menelan jumlah kos keseluruhan RM13 bilion, dengan kos pembinaan segmen satu sebanyak RM8.3 bilion.

“Bagi segmen yang masih belum dijalankan iaitu segmen dua (Stesen Macallum di Georgetown ke Penang Sentral) dan segmen tiga (pakej siap guna sistem) masing-masing mungkin menelan kos kira-kira RM3 bilion dan RM2 bilion.

“Tender untuk segmen tiga diiklankan pada akhir tahun 2024 dan proses pemilihan berlangsung selama kira-kira empat bulan, manakala tender untuk segmen dua disasarkan akan berjalan pada bulan Julai, dengan tawaran tender akan diberi pada awal tahun 2026,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Gamuda, menerusi anak syarikatnya dengan pemilikan 60 peratus pegangan, SRS Consortium Sdn Bhd dianugerahkan pakej kerja awam pertama untuk projek Laluan Mutiara Pulau Pinang (MTL) oleh MRT Mutiara Sdn Bhd bernilai RM8.31 bilion.

Anugerah kontrak reka bentuk itu menandakan pencapaian penting dalam pembangunan infrastruktur pengangkutan di Pulau Pinang.

Sebagai kontraktor utama kerja sivil bagi segmen pertama MTL, skop kerja itu meliputi jejambat bertingkat sepanjang 23.7 kilometer (km) dari Komtar ke Pulau A bagi Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Anak syarikat Gamuda turut bertanggungjawab membangunkan 19 stesen (di atas tanah) dan satu stesen sementara di Pulau A PSR serta sebuah depoh di Pulau A PSR untuk penyelenggaraan ringan dan berat.

Projek itu juga merangkumi pembinaan struktur tambahan, ‘park and ride’, pemindahan utiliti dan perkhidmatan, bangunan utiliti, kerja permukaan luaran serta kerja-kerja berkaitan lain.

Gamuda berkata, penganugerahan itu mencerminkan keyakinan terhadap keupayaan teknikal dan rekod pencapaian kumpulan dalam melaksanakan projek infrastruktur kompleks, baik di dalam mahupun luar negara.

Projek MLT itu dijadualkan siap dalam tempoh enam tahun selepas Notis Untuk Mula Kerja dikeluarkan, dengan matlamat meningkatkan kesalinghubungan dan menyokong pelan induk pengangkutan komprehensif Pulau Pinang yang direka untuk memenuhi keperluan mobiliti dan pertumbuhan ekonomi yang semakin meningkat.

Sementara itu, Adam berkata dengan mengambil kira pegangan saham 60 peratus berkesan milik Gamuda daripada tawaran kerja terkini (nilai mencecah kira-kira RM5 bilion), buku pesanan belum bayarnya dianggarkan sebanyak kira-kira RM37 bilionn, dengan tawaran kerja baharu yang diterima dari awal tahun kewangan 2025 hingga sekarang mencecah sekitar RM13.8 bilion).

“Mengikut anggaran kami, kerja dari Malaysia sekarang merangkumi lebih kurang 40 peratus daripada jumlah buku pesanan Gamuda dan hal ini mungkin membantunya menambah baik paras margin secara berperingkat kerana kerja pasaran tempatan secara amnya mencatat margin keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih tinggi,” katanya.

Back To Top