Vincent Tan pertahan Starbucks, Pemuda PAS beri amaran tegas terus boikot sekat produk pro Israel

Pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun menggesa rakyat Malaysia tidak perlu memboikot lagi jenama Starbucks susulan pengumuman gencatan senjata di Gaza sekalipun genjatan itu masih perlahan dan tertangguh

Beliau melahirkan rasa positif dengan pengumuman gencatan senjata itu Israel dan Hamas itu.

“Jadi untuk apa mahu boikot lagi Starbucks? Tidak ada keperluan lagi. katanya memetik laporan media tempatan.

Sebelum ini, Vincent Tan beberapa kali menegaskan tindakan memboikot Starbucks hanya akan merugikan rakyat Malaysia.

Vincent memberi bayangan bahawa jenama tersebut akan kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Pas kecam Vincent Tan

Sementara itu Pemuda Pas menyeru supaya boikot ke atas Starbucks diteruskan sehingga Palestin mencapai kemerdekaan.

Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kenyataan Pengasas Berjaya Group Tan Sri Vincent Tan supaya boikot dihentikan kerana gencatan senjata sudah dicapai disifatkan sebagai tidak bersimpati ke atas penduduk Gaza.

“Pemuda Pas Malaysia memandang serius akan kenyataan yang dikeluarkan oleh pengasas dan penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun yang menyatakan bahawa tiada keperluan untuk memboikot Starbuck kerana Gaza sudah aman.

“Kenyataan tersebut menunjukkan tiada langsung sifat empati terhadap umat Islam di Gaza yang dibantai oleh Isreal selama hampir 500 hari lamanya sehingga menyebabkan lebih 46,899 warga Palestin di Semenanjung Gaza telah terkorban dengan lebih 110,725 orang dilaporkan cedera,” katanya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata, walaupun perjanjian gencatan senjata telah termeterai namun tiada jaminan akan terlaksana kerana Israel mempunyai rekod melanggar perjanjian.

Malah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu turut menyatakan rejim zionis itu mempunyai hak untuk melancarkan serangan terhadap Gaza selepas berakhirnya gencatan senjata.

“Oleh itu, kita perlu memahami bahawa solidariti boikot yang dilakukan ini bukan bersifat ‘one-off’, sebaliknya ia merupakan usaha berterusan dalam melumpuhkan mana-mana syarikat pro Israel yang memberi keuntungan ekonomi kepada Israel untuk meneruskan jenayahnya.

“Justeru, Pemuda Pas Malaysia sekali lagi menolak dengan tegas akan kenyataan tersebut dan menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar meneruskan usaha boikot sebagai satu usaha untuk membebaskan bumi Palestin daripada cengkaman Zionis laknatullah,” katanya dalam kenyataan.

Setakat ini penasihat kepada 4 negeri PAS Tun Dr Mahathir yang juga kawan rapat Tan Sri Vincent Tan belum membuat komen berhubung seruan henti boikot Starbuck. September 2023 Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai penasihat tidak rasmi kepada empat kerajaan negeri ditadbir oleh Pas atau ‘State-Goverment 4′(SG4).

Kerugian Vincent Tan dan Berjaya Food Bhd

Ogos tahun lalu Berjaya Food Bhd (BFood) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM91.51 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2024, berbanding keuntungan bersih RM103.40 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

BFood juga memaklumkan perolehan syarikat turun kepada RM730.30 juta daripada RM1.11 bilion pada tahun sebelumnya.

Back To Top