2 anak Dr Mahathir isytihar harta lebih RM1.2 bilion

Dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memiliki harta bernilai lebih RM1.2 bilion, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Beliau berkata, berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepadanya, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.

Katanya, pengisytiharan harta itu antaranya membabitkan pegangan aset dan saham.

“Kedua-dua mereka mematuhi permintaan saya dan juga keputusan penyiasat untuk mengisytiharkan harta yang mereka miliki termasuk juga pegangan aset, saham dan sebagainya.

“Jadi saya berpuas hati dengan pengisytiharan harta berkenaan oleh kedua-duanya,” katanya pada sidang media, hari ini.

Azam berkata, melalui pengisytiharan harta itu, jumlah aset keseluruhan Mokhzani bernilai kira-kira RM1 bilion dengan ‘personal value’ (aset peribadi) sebanyak RM360 juta.

Mirzan pula jumlah asetnya adalah sebanyak RM246.2 juta dengan ‘personal value’ sebanyak RM120 juta.

“Ada berbentuk aset, ada juga dalam pegangan saham dan sebagainya yang kita ambil kira serta menolak liabiliti yang mereka tanggung.

“Jadi, persepsi ini saya kena betulkan kerana kadang-kadang kami dihujani dengan pelbagai soalan mengatakan adakah betul mengenai pemilikan harta (mereka),” katanya.

Azam menegaskan semua data berkenaan adalah daripada pegawai forensik SPRM serta beberapa penilaian terhadap jumlah aset yang diisytiharkan oleh mereka.

“Ini adalah mengenai pengisytiharan harta, namun siasatan membabitkan kedua-dua mereka masih diteruskan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan SPRM memanggil kedua-dua anak kepada bekas Perdana Menteri terbabit bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

SPRM sudah memulakan siasatan sejak Ogos 2022 terhadap semua entiti berkait dan dinamakan dalam laporan Kertas Pandora, juga Kertas Panama.

SPRM teruskan siasatan terhadap Daim dan isteri

Dalam perkembangan lain, Azam berkata, SPRM masih menjalankan siasatan membabitkan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan isteri, Toh Puan Naimah Abdul Khalid termasuk daripada aspek mengesan asetnya di luar negara.

Siasatan itu berdasarkan petunjuk ada aset luar negara perlu dikesan berhubung kes berkenaan.

“Hasil kerjasama dengan beberapa pihak daripada luar negara yang menunjukkan indikatornya itu menunjukkan ada aset di luar negara yang perlu kita kesan.

“Sekiranya ada kesalahan, kami akan membuat permohonan untuk mendapatkan kembali wang berkenaan,” katanya.

Back To Top