Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di peringkat antarabangsa dengan pelancaran Ladang Solar Eastfield dan Bunkers Hill berkapasiti 102 Megawatt (MW) di United Kingdom (UK).
Pelancaran projek itu disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.
Syarikat utiliti nasional tesebut mempunyai jumlah portfolio RE kasar terdiri daripada aset penjanaan tenaga solar dan angin berjumlah 1.3 GW yang sedang beroperasi dan dalam pembangunan di seluruh UK dan Ireland, serta 3.2 GW di Semenanjung Malaysia termasuk 2.5 GW daripada hidro besar.
Ladang Solar Bunkers Hill di Rotherwick (66.7 Megawatt Peak (MWp)) dan Eastfield di Harbury (35 MWp) adalah dua ladang solar canggih yang menghasilkan kapasiti gabungan sebanyak 102 MW, menonjolkan kepakaran Malaysia dalam memacu rumusan tenaga lestari di peringkat global.
Kedua-dua tapak berkenaan dijangka mencapai Tarikh Operasi Komersial (COD) pada awal tahun ini.
Projek itu disokong oleh skim Kontrak untuk Perbezaan (CfD) selama 15 tahun yang diperoleh pada Julai 2022, memastikan kestabilan pendapatan melalui harga tetap bagi penjanaan RE, sambil melindungi pelabur daripada turun naik pasaran.
TNB kini memiliki, membangunkan dan mengendalikan aset RE di seluruh UK dan Ireland, termasuk projek solar, angin darat, angin luar pesisir dan bateri.
Apabila beroperasi sepenuhnya, projek-projek pembangunan tersebut akan meningkatkan kapasiti penjanaan TNB di UK kepada 908 MW.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, TNB berbangga dengan sumbangannya dalam bidang RE kerana syarikat terus mengembangkan kehadirannya bukan sahaja di Malaysia dan UK, tetapi juga di pasaran global yang lain.
“Kami berhasrat untuk memanfaatkan kepakaran yang telah kami bina sepanjang 75 tahun dengan menerapkan kemajuan teknologi utama dan mengutamakan pembangunan bakat,” katanya dalam ucapan pada majlis itu di London, seperti laporan Bernama.
Sementara itu, Anwar percaya penerokaan TNB dalam bidang RE di UK akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara, dalam jangka masa panjang.
Beliu berkata, kerajaan juga memberi galakan kepada TNB dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk memberi tumpuan kepada pelaburan baharu di Malaysia.
“Seperti yang anda tahu, ekonomi sedang berkembang pesat. Kami sebahagian daripada rantau yang dinamik kerana pertumbuhannya dan semakin mendapat tumpuan serta daya tarikan sebagai destinasi pelaburan.
“Oleh itu, TNB dengan pemain-pemain lain telah diamanahkan untuk menjalankan penyelidikan, meneroka peluang baharu, terutamanya dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti yang saya tekankan,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu berkata, kerjasama tenaga serantau melalui Grid Kuasa ASEAN akan memberi manfat kepada teknologi baharu dalam memajukan peralihan tenaga rantau ini.
“Oleh itu, usaha dalam bidang ini termasuk di UK, pasti bermanfaat pada jangka panjang pada pandangan saya,” tambah Anwar